Al-Munafiquun
[1]
Apabila orang-orang munafik datang
kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: "Kami mengakui bahawa
sesungguhnya engkau - sebenar-benarnya Rasul Allah". Dan Allah
sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah
menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.
[2]
Mereka menjadikan sumpahnya (atau
akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta
bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang
(dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah
buruk apa yang mereka telah kerjakan.
[3]
(Perbuatan buruk) yang demikian kerana
mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka
tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas
hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang
mana salah).
[4]
Dan apabila engkau melihat mereka, engkau
tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila
mereka berkata-kata, engkaujuga (tertarik hati) mendengar tutur katanya
(kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti
batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada
padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah,
sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan
(atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka.
Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau
terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari
rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa
nafsunya - dari kebenaran)?
[5]
Dan apabila dikatakan kepada mereka: "
Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah)
untuk kamu", mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya; dan
engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku
sombong angkuh.
[6]
(Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama
ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun,
Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah
tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
[7]
Merekalah yang mengatakan (kepada
orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang
Muhajirin): "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang
yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai
(meninggalkannya)". Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan
bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang
pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang
munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).
[8]
Mereka berkata lagi: " Demi sesungguhnya!
Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu
orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari
Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)". Padahal bagi
Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi
orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak
mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[9]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah
kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu
daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan
(ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah
orang-orang yang rugi.
[10]
Dan belanjakanlah (dermakanlah)
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang
dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat
itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya
kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang
sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku
menjadi dari orang-orang yang soleh ".
[11]
Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali
akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa)
apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai
segala yang kamu kerjakan.