Al-Hasyr
[1]
Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[2]
Dia lah yang telah mengeluarkan
orang-orang kafir di antara Ahli Kitab - dari kampung halaman mereka
pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah.
Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar
(disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat), dan
mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan
serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah
menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam
fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati
mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan
mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman
(yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan
ambilah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal
fikiran serta celik mata hatinya.
[3]
Dan kalaulah tidak kerana Allah telah
menetapkan pengusiran (yang demikian buruknya) terhadap mereka,
tentulah Ia akan menyeksa mereka di dunia; dan mereka pula akan beroleh
azab seksa neraka pada hari akhirat kelak.
[4]
(Mereka ditimpakan azab) yang demikian,
kerana mereka mereka menentang (perintah) Allah dan RasulNya. Dan
(ingatlah), sesiapa yang menentang (perintah) Allah, maka sesungguhnya
Allah amatlah berat azab seksaNya.
[5]
Mana-mana jua pohon kurma (kepunyaan
musuh) yang kamu tebang atau kamu biarkan tegak berdiri seperti
keadaannya yang asal, maka yang demikian adalah dengan izin Allah
(kerana Ia hendak memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin), dan
kerana Ia hendak menimpakan kehinaan kepada orang-orang yang fasik.
[6]
Dan apajua yang Allah kurniakan kepada
RasulNya dari peninggalan harta benda mereka (yang telah diusir itu,
maka kamu tidak berhak mendapatnya), kerana kamu tidak memecut seekor
kuda pun dan tidak menunggang seekor unta pun (untuk berperang
mengalahkan mereka); tetapi Allah memberikan kekuasaan kepada
Rasul-rasulNya mengalahkan sesiapa yang dikehendakiNya (dengan tidak
payah berperang); dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[7]
Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya
(Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak
berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan
bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang
miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang
demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang
kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh
Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa
jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan
bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab
seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
[8]
(Pemberian itu hendaklah diuntukkan)
kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari
kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada
ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya,
serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang
yang benar (imannya dan amalnya).
[9]
Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami
negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang
yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka
perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang
berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah
itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan
kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga
serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya,
maka merekalah orang-orang yang berjaya.
[10]
Dan orang-orang (Islam) yang datang
kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami!
Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului
kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad
dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami!
Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".
[11]
Tidakkah engkau melihat dan merasa
hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka
tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan
(kaum Yahudi) ahli Kitab: "Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar
sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu, dan kami tidak akan
tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan
kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu!" Padahal
Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah
pendusta.
[12]
Demi sesungguhnya! Jika orang-orang
(Yahudi) itu dihalau keluar (dari Madinah), mereka (yang munafik) ini
tidak akan keluar bersama-samanya; dan demi sesungguhnya, jika
orang-orang (Yahudi) itu diperangi, mereka (yang munafik) ini tidak
akan membelanya; dan demi sesungguhnya, jika ditakdirkan mereka
membelanya sekalipun, sudah tentu mereka (semuanya - Yahudi dan
munafik) akan melarikan diri; kemudian mereka tidak akan mendapat
pertolongan, -
[13]
(Kerana) sesungguhnya kamu - dalam hati
mereka, - sangat ditakuti lebih dari Allah; yang demikian itu, kerana
mereka ialah kaum yang tidak memgerti (akan kekuasaan Allah dan
kebesaranNya).
[14]
(Orang-orang Yahudi dan orang-orang
munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi
kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari
sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri
amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka
berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian
itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang
sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka).
[15]
(Keadaan kaum Yahudi itu) samalah
seperti orang-orang (dari suku Yahudi) yang terdahulu sedikit dari
mereka, yang telah merasai akibat yang buruk (di dunia) dengan sebab
bawaan kufur mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak
terperi sakitnya (pada hari akhirat kelak).
[16]
(Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi)
itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia:
"Berlaku kufurlah engkau!" Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap
terkena azab), berkatalah Syaitan kepadanya: "Sesungguhnya aku adalah
berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah,
Tuhan yang menguasai seluruh alam!"
[17]
Maka kesudahan keduanya, bahawa mereka
ditempatkan di dalam neraka, kekal mereka di dalamnya. Dan yang
demikian itulah balasan makhluk-makhluk yang zalim.
[18]
Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan
memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari
esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada
Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang
kamu kerjakan.
[19]
Dan janganlah kamu menjadi seperti
orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah
menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan)
diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka.
[20]
Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).
[21]
Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke
atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta
pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal
perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka
memikirkannya.
[22]
Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan
melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia
lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[23]
Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan
melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang
Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan
Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha
Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya.
Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.
[24]
Dia lah Allah, Yang Menciptakan
sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang
Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya);
bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya;
bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah
Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.