Al Maaidah
[1]
Wahai orang-orang yang beriman, penuhi
serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu
(memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang
akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya
binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu
boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram.
Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Ia kehendaki.
[2]
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah
kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah,
dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang
yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong
binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah
Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka
(dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan
ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram
maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu
kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid
Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu
bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah
kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab
seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
[3]
Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai
(binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan
daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih
kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati
dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati
ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu
sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama
berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi
batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.
Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan
kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan
umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka,
sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku
telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu
kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.
Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang
diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka
bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
[4]
Mereka bertanya kepadamu (wahai
Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Bagi
menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang
lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh)
binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut
cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya
(adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada
kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan
sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan
bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang
diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya"
[5]
Pada masa ini dihalalkan bagi kamu
(memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan
(sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi
kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak
salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu
berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya - di
antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan
yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan
Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya,
sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan
bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan.
Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia beriman, maka
sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari
akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
[6]
Wahai orang-orang yang beriman, apabila
kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka
(berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu
meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah
kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas
besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak
boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu
datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu
tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu
bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu
dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu
menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia
berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan
nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.
[7]
Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah
dikurniakanNya) kepada kamu serta ingatlah perjanjianNya yang telah
diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: "Kami dengar dan kami taat
(akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)" Dan bertaqwalah kamu
kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala
(isi hati) yang ada di dalam dada.
[8]
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah
kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana
Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian
kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap
adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu
lakukan.
[9]
Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
[10]
Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran), merekalah ahli neraka.
[11]
Wahai orang-orang yang beriman,
kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu ketika
kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk
menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang)
kamu. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah
(sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah
diri.
[12]
Dan demi sesungguhnya! Allah telah
mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung
perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari
kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan
masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): "Bahawa Aku adalah
beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu
dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan
segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan
ugama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik
pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari
keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan
Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu
sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang
betul"
[13]
Maka dengan sebab mereka mencabuli
perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati
mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa
mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan
memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan
mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan
mereka mereka dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat
melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari
mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika
mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya
Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.
[14]
Dan di antara orang-orang yang
berkata:" Bahawa kami ini orang-orang Nasrani", Kami juga telah
mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan
(meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya,
lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka,
sampai ke hari kiamat; dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa
yang telah mereka kerjakan.
[15]
Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah
datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan
kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang
telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan
tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya
telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah,
dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.
[16]
Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan
jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang
mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari
gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan
izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang
lurus.
[17]
Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang
yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah
(wahai Muhammad): "(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat
menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu membinasakan
Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka
bumi semuanya?" Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan
langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan
apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[18]
Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata:
"Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat disayangiNya". Katakanlah
(wahai Muhammad): "(Kalau betul demikian), maka mengapakah Ia menyeksa
kamu dengan sebab dosa-dosa kamu? (Sebenarnya bukanlah sebagaimana yang
kamu dakwakan) bahkan kamu semuanya adalah manusia biasa di antara
manusia-manusia lain yang diciptakanNya. Ia mengampunkan bagi sesiapa
yang dikehendakiNya (menurut aturan serta hukum SyariatNya), demikian
juga Ia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) bagi Allah
jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi serta segala yang ada di
antara keduanya, dan kepada Allah jualah tempat kembali"
[19]
Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah
datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad, s.a.w) yang menerangkan kepada
kamu (akan syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul
(yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan berkata (pada hari
kiamat): "Tidak datang kepada kami seorang (Rasul) pun pembawa berita
gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami)". Kerana
sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang (rasul) pembawa berita
gembira dan juga pembawa amaran. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.
[20]
Dan (ingatkanlah mereka wahai
Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku!
Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia
menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan
kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan
orang-orangnya), dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah
diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa
itu)".
[21]
(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai
kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh
Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke
belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang
rugi (di dunia dan di akhirat)".
[22]
Mereka menjawab: "Wahai Musa
bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya
kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya;
kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan
masuk (ke negeri itu)".
[23]
Berkatalah dua lelaki di antara
orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah
diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka
melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu
kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu
berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu
orang-orang yang beriman"
[24]
Mereka (menolak dengan) berkata: "Wahai
Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya
selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau
bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk
menunggu".
[25]
Nabi Musa (merayu kepada Allah),
katanya: "Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain
daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah
antara kami dengan kaum yang fasik itu".
[26]
Allah berfirman: "Sesungguhnya negeri
itu diharamkan kepada mereka memasukinya - selama empat puluh tahun,
mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang
tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita
terhadap kaum yang fasik itu".
[27]
Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada
mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang
berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan
satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu
diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima
(korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku
akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima
(korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
[28]
"Demi sesungguhnya! Jika engkau
hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan
menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya
aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;
[29]
"Sesungguhnya aku mahu supaya engkau
kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka
dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan
orang-orang yang zalim".
[30]
Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya
(sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh
itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
[31]
Kemudian Allah hantarkan seekor burung
gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan
kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil)
berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku
tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat
menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan
orang-orang yang menyesal.
[32]
Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam)
yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa
yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan
membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi,
maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang
menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah
menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya,
telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan
yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka
sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas
(melakukan kerosakan) di muka bumi.
[33]
Hanyasanya balasan orang-orang yang
memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka
bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan
tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas),
atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas
sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu
ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di
dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang
amat besar.
[34]
Kecuali orang-orang yang bertaubat
sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu).
Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[35]
Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya
(dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan
berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu
beroleh kejayaan.
[36]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir,
kalau (tiap-tiap seorang dari) mereka mempunyai segala yang ada di muka
bumi atau sebanyak itu lagi bersamanya, untuk mereka menjadikannya
penebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya tebusan itu
tidak akan diterima dari mereka; dan mereka akan beroleh azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.
[37]
Mereka sentiasa berharap hendak keluar
dari api neraka itu, padahal mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar
daripadanya; dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal.
[38]
Dan orang lelaki yang mencuri dan orang
perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai
satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga
sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[39]
Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia
melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya,
sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
[40]
Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah
menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya), dan mengampunkan
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya). Dan
(ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[41]
Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau
menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri
dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya:
"Kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman; demikian juga dari
orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar
berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan
lain (pendita-pendita Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu;
mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab
Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: "Jika
disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika
tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik". Dan
sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa
sama sekali (menolak) sesuatu apapun (yang datang) dari Allah untuknya.
Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati
mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka
beroleh azab seksa yang besar.
[42]
Mereka sangat suka mendengar
berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan
sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di
antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau
berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka
mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau
menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[43]
Dan (sungguh menghairankan), bagaimana
mereka meminta keputusan hukum kepadamu, padahal di sisi mereka ada
Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka berpaling
pula sesudah itu (dari hukumanmu)? Dan (sebenarnya) mereka itu bukanlah
orang-orang yang beriman.
[44]
Sesungguhnya Kami telah menurunkan
Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi;
dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan
hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan
pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan
memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu,
dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang
perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi
hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan
maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual
(membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat
rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak
menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana
mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
[45]
Dan kami telah tetapkan atas mereka di
dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata
dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga
dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka
hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak
membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang
tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka
itulah orang-orang yang zalim.
[46]
Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam
mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk
membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah
berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan
cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada
di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat
pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[47]
Dan hendaklah Ahli Kitab Injil
menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan
sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh
Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
[48]
Dan Kami turunkan kepadamu (wahai
Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan
benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk
memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka
(Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah
(kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka
(dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari
kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan
(tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh
masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu
satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia hendak
menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada
kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan
beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka
Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
[49]
Dan hendaklah engkau menjalankan hukum
di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan
janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan
berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum
yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka
berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah,
hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari
dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu
adalah orang-orang yang fasik.
[50]
Sesudah itu, patutkah mereka
berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada
orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat
hukum yang lebih pada daripada Allah.
[51]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai
teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada
setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan
mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka
itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada
kaum yang berlaku zalim.
[52]
Dalam pada itu, engkau lihat
orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha
mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata:
"Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta
pertolongan mereka)". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan
(kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari
sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka
akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya.
[53]
Dan (telatah kaum munafik itu
menjadikan) orang-orang yang beriman berkata: "Adakah mereka ini
orang-orang yang bersumpah dengan nama Allah, dengan sebenar-benar
sumpahnya, bahawa mereka benar-benar menyertai dan menolong kamu?"
Telah gugurlah amal-amal mereka, lalu menjadilah mereka: orang-orang
yang rugi.
[54]
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa
di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah
akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga
kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang
yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka
berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak
takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah
kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya;
kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.
[55]
Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah
Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan
sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk
menjunjung perintah Allah).
[56]
Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan
rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka
berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada
ugama) Allah, itulah yang tetap menang.
[57]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan ugama kamu sebagai
ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang yang telah diberikan Kitab
sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi
penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar
orang yang beriman.
[58]
Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk
mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai
ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu
kaum yang tidak berakal.
[59]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
Ahli Kitab! Kamu tidak mencela dan menyalahkan kami melainkan kerana
kami beriman kepada Allah dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada
kami, serta beriman kepada apa yang diturunkan sebelum itu, dan kerana
kebanyakan kamu sesungguhnya adalah orang orang yang fasik".
[60]
Katakanlah: "Mahukah, aku khabarkan
kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada
yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan
dimurkaiNya, dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai
kera dan babi, dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk
kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul".
[61]
Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi
atau munafik itu) datang kepada kamu, mereka berkata: "Kami telah
beriman". Padahal sesungguhnya mereka itu masuk menemui kamu dengan
kekufurannya, dan sesungguhnya mereka keluar (dari sisi kamu) dengan
kekufurannya juga; dan (hendaklah mereka ingat), Allah lebih mengetahui
akan apa yang mereka sembunyikan.
[62]
Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka
berlumba-lumba pada melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang
haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.
[63]
Alangkah baiknya kalau ketua-ketua
ugama dan pendita-pendita mereka melarang mereka dari mengeluarkan
perkataan-perkataan yang dusta dan dari memakan yang haram?
Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
[64]
Dan orang-orang Yahudi itu berkata:
"Tangan Allah terbelenggu (bakhil - kikir)", tangan merekalah yang
terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah
katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan
kurniaNya luas melimpah-limpah). Ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana
yang Ia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan
kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka
bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan
kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka
menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula
terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka
kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.
[65]
Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman
dan bertaqwa tentulah Kami akan hapuskan dari mereka
kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke
dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
[66]
Dan kalau mereka bersungguh-sungguh
menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil
dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran),
nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan
dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil,
dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.
[67]
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa
yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika engkau tidak
melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah
engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu
dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah
petunjuk kepada kaum yang kafir.
[68]
Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Kamu
tidak dikira mempunyai sesuatu ugama sehingga kamu tegakkan ajaran
Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya kepada Nabi
Muhammad) dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu
Al-Quran)" Dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu (wahai
Muhammad) dari Tuhanmu itu, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran
kepada kebanyakan mereka. Oleh itu janganlah engkau berdukacita
terhadap kaum yang kafir itu.
[69]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman,
dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang
Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah
(dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada)
hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula
tidak akan berdukacita.
[70]
Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil
perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka
beberapa orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang - seorang Rasul
kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu
mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka
bunuh yang sebahagian lagi.
[71]
Dan mereka juga menyangka bahawa tidak
akan berlaku sebarang bencana, lalu mereka membutakan mata dan
memekakkan telinga, kemudian Allah menerima taubat mereka, setelah itu
kebanyakan dari mereka membutakan mata dan memekakkan telinga lagi.
Padahal Allah Maha Melihat akan apa yang mereka lakukan.
[72]
Demi sesungguhnya! Telah kafirlah
orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni
Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil!
Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang
mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah
haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan
tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim".
[73]
Demi sesungguhnya telah kafirlah
orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga
tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang
Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan
itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan
dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[74]
Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat
kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar
keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan
seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[75]
Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu
melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang
Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua
adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami
jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang
tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana
mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang
jelas nyata itu).
[76]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Patutkah
kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa
memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat?
Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".
[77]
Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab!
Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan
janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum
ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka
telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul"
[78]
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani
Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui
lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan
mereka menderhaka dan selalu menceroboh.
[79]
Mereka sentiasa tidak
berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan
ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa
yang mereka telah lakukan.
[80]
Engkau melihat banyak dari mereka
menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman rapat mereka. Demi
sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka
(pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan
mereka pula tetap kekal di dalam azab (neraka).
[81]
Sekirany mereka beriman kepada Allah
dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya, nescaya mereka
tidak menjadikan orang-orang (musyrik) sebagai teman rapat, akan tetapi
kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasik.
[82]
Demi sesungguhnya engkau (wahai
Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada
orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang
musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang
dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah
orang-orang yang berkata: "Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani"
yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan
ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
[83]
Dan apabila mereka mendengar Al-Quran
yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat
mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui
(melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka
berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan
Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama
orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad
s.a.w).
[84]
"Dan tidak ada sebab bagi kami tidak
beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada
kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan
kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang
soleh"
[85]
Lalu Allah memberikan pahala kepada
mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang telah mereka
ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian
itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.
[86]
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itulah ahli neraka.
[87]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah
dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas
(pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya
Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
[88]
Dan makanlah dari rezeki yang telah
diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan
bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
[89]
Kamu tidak dikira salah oleh Allah
tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah),
akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja
kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah
memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana
yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian
untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang
tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia
berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu
apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu.
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum
ugamaNya) supaya kamu bersyukur.
[90]
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa
sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib
dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari
perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu
berjaya.
[91]
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah
bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu
dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada
mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah
kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor
itu atau kamu masih berdegil)?
[92]
Dan taatlah kamu kepada Allah serta
taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi
perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan
menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa
sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan
(perintah-perintah) dengan jelas nyata.
[93]
Tidak ada dosa bagi orang-orang yang
beriman serta mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka
makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan
amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian
mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi
orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
[94]
Wahai orang-orang yang beriman! Demi
sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa kamu berihram) dengan
sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan
(mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah ketahui
wujudnya sesiapa yang takut kepadaNya semasa ia tidak melihatNya semasa
ia tidak dilihat orang. Oleh itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah
yang demikian maka baginya azab yang tidak terperi sakitnya.
[95]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang
berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja,
maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan
binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua
orang yang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke
Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah
Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin,
atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang
miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya.
Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi
(kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha
Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.
[96]
Dihalalkan bagi kamu binatang buruan
laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu
(untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam
pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat
selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang
kepadaNya kamu akan dihimpunkan.
[97]
Allah menjadikan Kaabah, rumah yang
mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan
hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan
binatang-binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang
demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui
apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi, dan bahawa
sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[98]
Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah
Maha berat azab seksaNya (kepada orang yang kufur dan derhaka), dan
bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi orang yang
mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya).
[99]
Tidak ada kewajipan yang ditugaskan
kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan (perintah-perintah
Allah) sahaja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lahirkan dan
apa yang kamu sembunyikan.
[100]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak
sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu
menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang
yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.
[101]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika
diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya
mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan
kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan)
perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana
Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar.
[102]
Sesungguhnya perkara-perkara yang
serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh suatu kaum
dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab
pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).
[103]
Allah tidak sekali-kali mensyariatkan
Bahirah, tidak juga Saa'ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam.
Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta
terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya
[104]
Dan apabila dikatakan kepada mereka:
"Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah
(Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka
menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami
mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk
nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah
petunjuk?
[105]
Wahai orang-orang yang beriman!
Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh
Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada
kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat
mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah
jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan
kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.
[106]
Wahai orang-orang yang beriman!
Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu)
berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil
di antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seugama) dengan kamu,
jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit
yang membawa maut. Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi
itu, hendaklah) kamu tahan mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian
mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata: "Demi
Allah) kami tidak akan menjual sumpah kami untuk mendapat sesuatu harta
benda, walaupun orang itu dari kaum kerabat, dan kami tidak
menyembunyikan (keterangan yang kami ketahui) sebagai saksi
(sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah, (kerana jika kami
menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan
orang-orang yang berdosa".
[107]
Kemudian jika didapati bahawa kedua
saksi itu (sesudah bersumpah) ada melakukan dosa (kerana berdusta atau
mengkhianati dalam perkara yang mereka menjadi saksi itu), maka
hendaklah dua orang yang lain menggantikan tempat mereka dari
waris-waris si mati lebih dekat, yang lebih berhak (menuntut dan
memberi keterangan yang sebenarnya), kemudian mereka bersumpah dengan
nama Allah (dengan berkata): "Demi sesungguhnya, persaksian kami lebih
berhak diterima daripada persaksian kedua saksi itu (yang telah nyata
berdusta), dan kami tidak melampaui batas, (kerana jika kami berbuat
demikian) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang
yang zalim.
[108]
(Hukum-hukum dan peraturan menjadi
saksi) yang tersebut itu adalah jalan yang lebih dekat untuk mereka
memberi keterangan persaksian menurut cara yang sebenarnya, atau untuk
mereka merasa takut akan ditolak sumpah mereka (kepada waris-waris si
mati) sesudah mereka bersumpah (yang akan mendedahkan kecurangan
mereka). Oleh itu bertaqwalah kepada Allah, dan dengarlah dengan patuh
(segala perintahNya), dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah
petunjuk kepada kaum yang fasik.
[109]
(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya)
Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya: "Apakah penerimaan
yang diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu, ketika kamu
menyampaikan seruan ugama Allah)?" Rasul-rasul itu menjawab: "Tidak ada
bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang tepat
adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha
Mengetahui akan segala perkara yang ghaib"
[110]
(Ingatlah) ketika Allah berfirman:
"Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu,
ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat
berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian
dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis
membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil;
dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung
dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia
seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan
orang buta dan orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau
menghidupkan orang-orang yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika
Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang
kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu
orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: "Bahawa ini hanyalah
sihir yang terang nyata"
[111]
Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan
kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat karib nabi Isa):
"Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!" Mereka menjawab: "Kami
telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami orang-orang
Islam (yang menyerah diri kepada Allah)"
[112]
Dan (ingatlah) ketika orang orang
Hawariyyiin berkata: "Wahai Isa Ibni Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu
berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari langit?" Nabi Isa
menjawab: "Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar kamu orang-orang
yang beriman".
[113]
Mereka berkata: "Kami hanya ingin
hendak makan dari hidangan itu (untuk mengambil berkat), dan supaya
tenang tenteram hati kami, dan juga supaya kami ketahui dengan yakin,
bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami, dan supaya
menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri"
[114]
Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke
hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya
kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi
kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang
datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang
menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada
kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki".
[115]
Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku
akan menurunkan hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, kemudian
sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu),
maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak
pernah Aku seksakan seseorang pun dari sekalian makhluk".
[116]
Dan (ingatlah) ketika Allah
berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada
manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ' "
Nabi `Isa menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak
bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika
aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau
mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa
yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha
Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
[117]
"Aku tidak mengatakan kepada mereka
melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu:
`Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ' dan adalah aku
menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan
menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka;
kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri
yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi
atas tiap-tiap sesuatu.
[118]
"Jika Engkau menyeksa mereka, (maka
tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah
hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya
Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
[119]
Allah berfirman: "Inilah hari
(kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan
amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh
Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal
di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda
akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar".
[120]
Allah jualah yang menguasai alam
langit dan bumi serta segala yang ada padanya; dan Dia lah jua yang
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.