Asy-Syuura
[1]
Haa, Miim.
[2]
Ain, Siin, Qaaf.
[3]
Sebagaimana yang terkandung dalam surah
ini dan surah-surah yang lain - diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad)
dan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu, oleh Allah Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[4]
Dia lah yang mempunyai dan menguasai
segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Dia lah Yang
Tertinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
[5]
Alam langit nyaris-nyaris pecah dari
sebelah atasnya (kerana ngeri dan takutnya kepada kemurkaan Allah
terhadap penduduk bumi yang lupakan kebesaran Allah sehingga
menyeleweng dari jalan yang benar); dan malaikat bertasbih dengan
memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di
bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
[6]
Dan (sebaliknya) orang-orang yang
menjadikan sesuatu yang lain dari Allah sebagai pelindung (yang
disembah dan diharapkan pertolongannya), Allah sentiasa mengawasi
tingkah laku mereka (serta akan membalasnya); dan engkau (wahai
Muhammad hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai soal
(bawaan dan amalan) mereka.
[7]
Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau
hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab,
supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk)
"Ummul-Qura" dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta
memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) -
yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak
masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka.
[8]
Dan jika Allah menghendaki, tentulah Ia
menjadikan mereka satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu);
akan tetapi Allah (tidak merancang yang demikian bahkan Ia akan)
memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya (menurut
peraturan yang telah ditetapkan); dan orang-orang yang zalim tidak ada
baginya sesiapapun yang dapat memberikan perlindungan dan pertolongan.
[9]
Tidaklah patut mereka menjadikan sesuatu
yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang disembah dan
dipuja) kerana Allah jualah Pelindung yang sebenar-benarnya, dan Dia
lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati. Dan (ingatlah), Ia
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[10]
Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada
pengikut-pengikutmu): "Apa jua perkara ugama yang kamu berselisihan
padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang
demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah
diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)".
[11]
Dia lah yang menciptakan langit dan
bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu
sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak
pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang
demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada
sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan
pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[12]
Dia lah jua yang menguasai urusan dan
perbendaharaan langit dan bumi; Ia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga
yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Ia Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[13]
Allah telah menerangkan kepada kamu -
di antara perkara-perkara ugama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang
telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah)
wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami
perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu:
"Tegakkanlah pendirian ugama, dan janganlah kamu berpecah belah atau
berselisihan pada dasarnya". Berat bagi orang-orang musyrik (untuk
menerima ugama tauhid) yang engkau seru mereka kepadanya. Allah memilih
serta melorongkan sesiapa yang dikehendakiNya untuk menerima ugama
tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada ugamaNya itu sesiapa
yang rujuk kembali kepadaNya (dengan taat).
[14]
Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah
belah dan berselisihan (dalam menjalankan ugama Allah) melainkan
setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka
mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya
(perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama
sendiri. Dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan
dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang
tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada
mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi
Kitab ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang
menggelisahkan terhadap Kitab itu.
[15]
Oleh kerana yang demikian itu, maka
serulah (mereka - wahai Muhammad - kepada berugama dengan betul), serta
tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan
kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka;
sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan
oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.
Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi
kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami
dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan
menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat
kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)".
[16]
Dan orang-orang yang berhujah
menyangkal dan membantah tentang kebenaran ugama Allah sesudah disambut
dan diterima ugamaNya itu - bantahan (dan tuduhan palsu) mereka itu
sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka. Dan mereka pula ditimpa kemurkaan
(dari Allah) serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya.
[17]
Allah yang menurunkan Kitab Suci dengan
membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca
keadilan. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi hari
kiamat itu sudah hampir (masa datangnya).
[18]
Orang-orang yang tidak beriman kepada
hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan
kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut
ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah
benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai
hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.
[19]
Allah Maha Lembut tadbirNya (serta
melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya;
Ia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan
yang telah ditetapkan), dan Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
[20]
Sesiapa yang menghendaki (dengan amal
usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat
tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki
(dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri
kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia
tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.
[21]
Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu
yang menentukan - mana-mana bahagian dari ugama mereka - sebarang
undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak
kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk
menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah
dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat
demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[22]
(Pada hari kiamat) engkau akan melihat
orang-orang yang zalim takut ngeri (akan balasan buruk) bagi
kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, sedang azab seksa itu
tetap menimpa mereka. Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh
(bersenang-lenang) dalam taman-taman Syurga; mereka beroleh apa sahaja
yang mereka ingini di sisi Tuhan mereka; yang demikian itu ialah limpah
kurnia yang besar.
[23]
(Limpah kurnia yang besar) itulah yang
Allah gembirakan (dengannya): hamba-hambaNya yang beriman dan beramal
soleh. Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak meminta kepada kamu
sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku
minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian
kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak
disakiti)". Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu perkara yang baik,
Kami tambahi kebaikan baginya (dengan menggandakan pahala) kebaikannya
itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan
sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).
[24]
(Orang-orang kafir tidak mengakui
kerasulan Nabi Muhammad) bahkan mereka mengatakan: "Ia telah
mereka-reka perkara dusta terhadap Allah" (Sebenarnya tidak patut
mereka berkata demikian) kerana Allah berkuasa - jika Ia menghendaki -
menutup hatimu (dan ingatanmu daripada menyatakan apa yang engkau telah
nyatakan itu, tetapi Allah tidak menghendaki yang demikian, bahkan Ia
memberi kuasa menyampaikan perintahNya, maka semua kenyataan yang
engkau sampaikan adalah benar belaka). Dan sememangnya Allah tetap
menghapuskan perkara yang salah serta Ia menetapkan yang benar dengan
kalimah-kalimah wahyuNya dan keputusanNya. Sesungguhnya Ia Maha
Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.
[25]
Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat
dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan
kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa
yang kamu semua kerjakan.
[26]
Dan Ia memperkenankan doa permohonan
orang-orang yang beriman serta beramal soleh, dan Ia menambahi mereka
dari limpah kurniaNya (selain dari yang mereka pohonkan). Dan
(sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa
yang seberat-beratnya.
[27]
Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki
bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi
(dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan
(rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang
dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala
keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.
[28]
Dan Dia lah yang menurunkan hujan
setelah mereka berputus asa, dan Ia pula menyebarkan rahmatNya
merata-rata. Dan (ingatlah) Dia lah pengawal (yang melimpahkan
ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji.
[29]
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya
ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkan pada
keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Ia Maha Kuasa
menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki (melakukannya).
[30]
Dan apa jua yang menimpa kamu dari
sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa
yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa);
dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa
kamu.
[31]
Dan kamu tidak akan dapat melemahkan
kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun
kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit); dan
kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah. - sebagai
pelindung atau pemberi pertolongan.
[32]
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kapal-kapal (yang besar tinggi) seperti gunung, belayar laju merempuh lautan.
[33]
Jika Ia kehendaki, Ia menghentikan
tiupan angin, maka tinggalah kapal-kapal itu terapung-apung di muka
lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar
pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap
sabar, lagi sentiasa bersyukur.
[34]
Atau (jika Ia kehendaki) Ia binasakan
kapal-kapal itu disebabkan dosa-dosa yang dilakukan oleh
orang-orangnya, (lalu setengahnya dibiarkan mati lemas) dan
(setengahnya diselamatkan dengan jalan) Ia memaafkan sebahagian besar
dari dosa-dosa mereka.
[35]
(Berlakunya yang demikian supaya nyata
kekuasaan Kami) dan supaya orang-orang yang membantah ayat-ayat
keterangan Kami mengetahui, bahawa mereka tidak akan dapat jalan
melepaskan diri (dari azab seksa).
[36]
Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada
kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan
(sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat)
adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan
yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;
[37]
Dan juga (lebih baik dan lebih kekal
bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta
perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan
perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;
[38]
Dan juga (lebih baik dan lebih kekal
bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta
mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan
secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan
sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;
[39]
Dan juga (lebih baik dan lebih kekal
bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim,
mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui
batas).
[40]
Dan (jika kamu hendak membalas maka)
balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya;
dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat
baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan
diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang-orang yang berlaku zalim.
[41]
Dan sesungguhnya orang yang bertindak
membela diri setelah ia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya,
tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka.
[42]
Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan)
hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia
dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang
benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak
berperi sakitnya.
[43]
Dalam pada itu (ingatlah), orang yang
bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang
demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
(melakukannya).
[44]
Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah,
maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun yang dapat menolongnya.
Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka
menyaksikan azab (pada hari kiamat) berkata: "Adakah sebarang jalan
untuk kami kembali ke dunia?"
[45]
Dan engkau juga akan melihat mereka
didedahkan kepada neraka dalam keadaan tunduk membisu dengan sebab
kehinaan (yang mereka rasai) sambil memandang (ke neraka itu) hanya
dengan mengerling (kerana gerun takut). Dan orang-orang yang beriman
pula berkata: "Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan
sebenar-benarnya) ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri dan
pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab mereka memilih
perbuatan derhaka di dunia). Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang
zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal".
[46]
Dan tiadalah bagi mereka sebarang
penolong - yang lain dari Allah - yang dapat memberikan pertolongan
kepada mereka; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (disebabkan
pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan (untuk
mendapat hidayah petunjuk).
[47]
Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu
(yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah - hari yang
tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat
berlindung (dari azabNya), dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan
untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan).
[48]
Oleh itu, jika mereka berpaling ingkar,
maka Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad) sebagai pengawas terhadap
mereka; tugasmu tidak lain hanyalah menyampaikan (apa yang
diperintahkan kepadamu). Dan (ingatlah) sesungguhnya apabila Kami
memberi manusia merasai sesuatu rahmat dari Kami, ia bergembira
dengannya; dan (sebaliknya) jika mereka ditimpa sesuatu kesusahan
disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan, maka (mereka segera membantah
serta melupakan rahmat yang mereka telah menikmatinya, kerana)
sesungguhnya manusia itu sangat tidak mengenang nikmat-nikmat Tuhannya.
[49]
Bagi Allah jualah hak milik segala yang
ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia
mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya,
dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
[50]
Atau Ia mengurniakan mereka
kedua-duanya - anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan
sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui,
lagi Maha Kuasa.
[51]
Dan tidaklah layak bagi seseorang
manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu
(dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan
mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu
utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang
dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha
Bijaksana.
[52]
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu
(Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah
Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu):
apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu;
akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri
petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba
Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk
dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus,
[53]
Iaitu jalan Allah yang memiliki dan
menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ingatlah!
Kepada Allah jualah kembali segala urusan.