Ar-Ruum
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Orang-orang Rom telah dikalahkan -
[3]
Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya -
[4]
Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun.
Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum
berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya
(kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -
[5]
Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia
memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua
yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
[6]
Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak
pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[7]
Mereka hanya mengetahui perkara yang
zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat
hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
[8]
Patutkah mereka merasa cukup dengan
mengetahui yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati
mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak
menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya
itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan dengan ada masa
penghujungnya yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)?
Dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh
ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.
[9]
Tidakkah mereka telah berjalan dan
mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan
orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat
daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta
memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka,
dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan
membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka
mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang
demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi
merekalah yang menganiaya diri sendiri.
[10]
Sesudah dibinasakan di dunia maka
akibat orang-orang yang melakukan kejahatan itu ialah seburuk-buruk
azab (di akhirat kelak), disebabkan mereka mendustakan ayat-ayat
keterangan Allah dan sentiasa mempersendakannya.
[11]
Allah memulakan kejadian sekalian
makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat),
kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan).
[12]
Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan dia membisu serta berputus asa.
[13]
Dan makhluk-makhluk yang mereka jadikan
sekutu-sekutu Allah itu tidak ada satupun daripadanya pemberi syafaat
melepaskan mereka (dari azab Allah), padahal mereka berlaku kufur di
dunia dahulu dengan sebab makhluk-makhluk yang mereka sekutukan (dengan
Allah) itu.
[14]
Dan semasa berlakunya kiamat, mereka pada hari itu akan berpecah kepada dua kumpulan (setelah selesai perbicaraan).
[15]
Adapun kumpulan orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan di taman Syurga
dalam keadaan bersuka ria.
[16]
Dan sebaliknya kumpulan orang-orang
yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran) serta mendustakan
pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada dalam azab seksa
selama-lamanya.
[17]
(Setelah kamu mengetahui yang demikian)
maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan
semasa kamu berada pada waktu subuh.
[18]
Serta pujilah Allah yang berhak
menerima segala puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di bumi,
dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang
dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.
[19]
Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari
benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang
hidup, serta menghidupkan bumi sesudah matinya; dan sedemikian itulah
kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).
[20]
Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia
menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja
peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup
bertebaran di muka bumi.
[21]
Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk
kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya
kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di
antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
[22]
Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan
bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang
berpengetahuan.
[23]
Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada
waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari
limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang
demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu
mendengar (nasihat pengajaran).
[24]
Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat
kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan
(dengan turunnya hujan); dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia
hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang
demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang
menggunakan akal untuk memahamiNya.
[25]
Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit
dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan
penentuan takdirNya; akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan satu
seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta
merta keluar (dari kubur masing-masing).
[26]
Dan sekalian makhluk yang ada di langit
dan di bumi adalah hak kepunyaanNya, masing-masing tetap tunduk kepada
hukum peraturanNya.
[27]
Dan Dia lah yang memulakan kejadian
sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah
mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah bagiNya.
Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia
lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[28]
Ia mengemukakan kepada kamu satu misal
perbandingan dari keadaan diri kamu sendiri, iaitu: Relakah kamu
menerima sebahagian dari hamba-hamba abdi yang kamu miliki itu menjadi
rakan kongsi kamu pada harta benda yang Kami telah kurniakan kepada
kamu, supaya dengan penerimaan kamu itu, mereka dengan kamu menjadi
sama-sama berhak padanya, sehingga kamu pun tidak berani (menguruskan
harta benda itu dengan tiada persetujuan) mereka, sebagaimana kamu
tidak berani (berbuat demikian dengan orang-orang yang berkongsi dengan
kamu - yang setaraf dengan) diri kamu? Demikianlah Kami menjelaskan
keterangan-keterangan satu persatu bagi orang-orang yang menggunakan
akal untuk memahaminya.
[29]
Orang-orang yang zalim itu (tidak
berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan
tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi
petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan
bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat
menolong melepaskan mereka dari azab.
[30]
(Setelah jelas kesesatan syirik itu)
maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai
Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus)
ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan
bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada
sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul
lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[31]
Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan
pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan
mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya; dan
kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna; dan janganlah kamu
menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik -
[32]
Iaitu orang-orang yang menjadikan
fahaman ugama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing
serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak bergembira
dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong
itu).
[33]
Dan apabila manusia disentuh oleh
sesuatu bahaya, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan
rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah memberi
mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari
mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya;
[34]
Dengan sebab itu, mereka mengingkari
nikmat-nikmat yang telah Kami berikan kepadanya. Maka (dikatakan kepada
mereka): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara), kemudian kamu akan
mengetahui (balasan kederhakaan kamu)".
[35]
Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka
(yang musyrik itu) sebarang bukti keterangan, lalu ia menerangkan jalan
yang membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik itu?
[36]
Dan apabila Kami beri manusia merasai
sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan);
dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah
dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.
[37]
(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan
mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah
memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan
adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang
menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau
tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi
orang-orang yang beriman.
[38]
Maka (bagi menyatakan sikap syukur)
berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan
haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi
orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah
orang-orang yang berjaya.
[39]
Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu
pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya
dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di
sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu
pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan
Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang
yang beroleh pahala berganda-ganda.
[40]
Allah jualah yang mencipta kamu;
kemudian Ia memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan kamu;
kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk
yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu
pun dari segala yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya
dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).
[41]
Telah timbul berbagai kerosakan dan
bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan
oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak
merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang
mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
[42]
Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka
bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu
(yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang
musyrik".
[43]
(Jika demikian keadaannya) maka
hadapkanlah dirimu (wahai Muhammad) ke arah ugama yang betul, sebelum
datangnya dari Allah: hari yang tak dapat ditolak; pada hari itu
manusia akan berpecah (kepada dua golongan).
[44]
Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah
sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang
beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang
yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing;
[45]
Kerana Allah akan membalas orang-orang
yang beriman dan beramal soleh dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Ia
tidak suka kepada orang-orang yang kufur ingkar.
[46]
Dan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan angin sebagai pembawa
berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit dari
rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintahNya, dan
juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan
seterusnya supaya kamu bersyukur.
[47]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah
mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum
masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan
yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah
(mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami
menolong orang-orang yang beriman.
[48]
Allah jualah yang menghantarkan angin,
lalu angin itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan itu
di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya
berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat hujan keluar dari
celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu mengenai
sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya, mereka serta merta
bergembira;
[49]
Dan sesungguhnya mereka dahulu, sebelum diturunkan hujan kepada mereka, adalah orang-orang yang telah berputus asa.
[50]
Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan
rahmat Allah, bagaimana Ia menghidupkan bumi sesudah matinya (dengan
tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya Allah yang demikian
kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah
mati. Dan (ingatlah) Ia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[51]
Dan demi sesungguhnya, jika Kami
hantarkan angin (menyerang tanaman) lalu mereka melihat tanaman itu
menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus kembali kufur
(tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa).
[52]
(Maka janganlah engkau berdukacita -
wahai Muhammad - terhadap keadaan mereka yang demikian), kerana
sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati
(hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang
yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling undur
(disebabkan keingkarannya).
[53]
Dan engkau tidak akan dapat memberi
petunjuk kepada orang-orang yang buta (matahatinya) supaya menjauhi
kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu)
melainkan kepada orang-orang yang sedia beriman akan ayat-ayat
keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang menurut perintah.
[54]
Allah yang menciptakan kamu bermula
dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu
kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia
menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha
Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
[55]
Dan semasa berlakunya hari kiamat,
orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak
tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja;
demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari
memperkatakan yang benar).
[56]
Dan (bagi menjawabnya) berkatalah
orang-orang yang berilmu serta beriman: "Demi sesungguhnya, kamu telah
tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah - sampai ke hari
kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang
dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu
mengetahui (kebenarannya)".
[57]
Maka pada hari itu tidak berguna lagi
bagi orang-orang yang zalim, sebarang alasan yang mereka kemukakan
untuk melepaskan diri, dan mereka pula tidak diberi peluang untuk
memohon keredaan Allah.
[58]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah
mengemukakan kepada umat manusia berbagai kisah dan perbandingan di
dalam Al-Quran ini; dan demi sesungguhnya jika engkau membawa kepada
mereka sebarang keterangan, sudah tentu orang-orang kafir itu akan
berkata: "Kamu ini tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat dakwaan
palsu".
[59]
Demikianlah Allah meteraikan hati orang-orang yang tidak mahu menerima jalan mengetahui (kebenaran).
[60]
Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad),
sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang
tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah
gelisah.