A-li 'Imraan
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan
sekalian makhlukNya.
[3]
Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad)
Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan
isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia
juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.
[4]
Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi
petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga yang menurunkan Al-Furqaan
(yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi
mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa,
lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).
[5]
Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.
[6]
Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam
rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[7]
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai
Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah
ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas
maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi
Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang
samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham
yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun
orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan,
maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk
mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut
yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir
maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap
teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:"
Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami"
Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan
orang-orang yang berfikiran.
[8]
(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai
Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri
petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari
sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah
pemberianNya.
[9]
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah
yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada)
suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya". Sesungguhnya
Allah tidak memungkiri janjiNya.
[10]
Sebenarnya harta benda orang-orang
kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan
mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan
bakaran api neraka.
[11]
(Keadaan orang-orang kafir itu) sama
seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari
mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah
menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha
berat azab seksaNya.
[12]
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada
orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan
dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah
seburuk-buruk tempat yang disediakan".
[13]
Sesungguhnya telah ada satu tanda
(bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di
medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan
Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari
golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang
Islam dengan pandangan mata biasa - dua kali ramainya berbanding dengan
mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang
dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada
peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi
orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).
[14]
Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada
manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu
perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak
bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda
lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.
Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi
Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
[15]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah
supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya
itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan
mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka
kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri
yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan
(ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;
[16]
(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan
berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu,
ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka";
[17]
(Dan juga) orang-orang yang sabar
(dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar
(perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan
perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada
jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada
waktu sahur.
[18]
Allah menerangkan (kepada sekalian
makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh
alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang
berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[19]
Sesungguhnya ugama (yang benar dan
diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama
Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka
pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula)
semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan
(ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah,
maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
[20]
Oleh sebab itu jika mereka berhujah
(menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: "Aku
telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang
mengikutku". Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang
(Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang "Ummi"
(orang-orang musyrik Arab): "Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama
Islam yang aku bawa itu)?" Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka
sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling
(tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah
menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat
(tingkah laku) sekalian hambaNya.
[21]
Sesungguhnya orang-orang yang kufur
ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan
jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia
supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang mengembirakan mereka,
dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[22]
Mereka itulah orang-orang yang telah
rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan
memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.
[23]
Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai
Muhammad) terhadap sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan
sebahagian dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya
Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang timbul) di
antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling ingkar sambil
menolak (seruan dan hukum Kitab Allah itu).
[24]
Yang demikian ialah disebabkan mereka
(mendakwa dengan) berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh
api neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung". Mereka
(sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka, oleh
dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.
[25]
Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan
mereka) ketika Kami himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada
syak padanya; dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-tiap
seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang mereka
masing-masing tidak akan dianiaya.
[26]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa
pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang
mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.
Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan
Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan
Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu.
[27]
"Engkaulah (wahai Tuhan) yang
memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang
memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang
mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah
yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau
jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan
tiada hitungan hisabnya".
[28]
Janganlah orang-orang yang beriman
mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan
orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang
demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam
sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu
bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah
perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya
(menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.
[29]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu
sembunyikan apa yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya,
nescaya Allah mengetahuinya; dan Ia mengetahui segala yang ada di
langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
[30]
(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya)
tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah
dikerjakannya, sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat
amalnya); dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah
dikerjakannya. (ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau
ada jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu. Dan
Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya
(menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah Amat belas kasihan kepada
hamba-hambaNya.
[31]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika
benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi
kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[32]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah
kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling
(menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang
yang kafir.
[33]
Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi
Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran,
melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).
[34]
(Mereka kembang biak sebagai) satu
keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain.
Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.
[35]
(Ingatlah) ketika isteri Imran
berkata:" Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada
dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia
untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku;
sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
[36]
Maka apabila ia melahirkannya,
berkatalah ia: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan
seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak
lelaki), - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu
- dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan
bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia
dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan
syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)".
[37]
Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh
ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan
dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk
dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk
menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar
biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana
engkau dapati (buah-buahan) ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah,
sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya
dengan tidak dikira".
[38]
Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada
Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu
zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar
(menerima) doa permohonan".
[39]
Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia
berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): "Bahawasanya Allah memberi
khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki
bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan
menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan
menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh".
[40]
Nabi Zakaria berkata:" Wahai Tuhanku!
Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku
telah tua dan isteriku pula mandul?", Allah berfirman: "Demikianlah
keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya".
[41]
Nabi Zakaria berkata lagi: "Wahai
Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku
mengandung)". Allah berfirman: "Tandamu itu ialah engkau tidak akan
dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam)
melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan
berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan
mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi".
[42]
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika
malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu,
dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi
perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).
[43]
"Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu,
dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama
orang-orang yang rukuk ".
[44]
Peristiwa yang demikian ialah
sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai
Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara
mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad)
tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara
menjaga dan memelihara Maryam).
[45]
(Ingatlah) ketika malaikat berkata:
"Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang
mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan
kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu:
Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di
akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi
kemuliaan di sisi Allah).
[46]
"Dan ia akan berkata-kata kepada orang
ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia
adalah dari orang-orang yang soleh."
[47]
Maryam berkata:" Wahai Tuhanku!
Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah
disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah
keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia
berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman
kepadanya: ` Jadilah engkau ', lalu menjadilah ia."
[48]
Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.
[49]
Dan (akan melantiknya) menjadi seorang
Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka):
"Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda
(mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari
tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu
menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga
aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku
boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan
juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan
apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang
demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang
membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah
kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.
[50]
"Dan juga (aku datang kepada kamu ialah
untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu
daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari
perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang
kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu
bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.
[51]
"Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus".
[52]
Maka ketika Nabi Isa merasa (serta
mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi),
berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku)
kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang "Hawariyyuun"
(Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong
(utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai
Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah
bulat-bulat kepada Allah).
[53]
"Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman
kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu; oleh
itu suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang
mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)".
[54]
Dan orang-orang (Yahudi yang kafir)
itupun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah
pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak
yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.
[55]
(Ingatlah) ketika Allah berfirman:
"Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan
mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir,
dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi
orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat.
Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum
(memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan".
[56]
Adapun orang-orang kafir, maka Aku
(Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan
di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat
menolong.
[57]
Adapun orang-orang yang beriman dan
mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala
mereka; dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
[58]
Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang
Kami membacakannya kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari
hujah-hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari
Al-Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat - (pengetahuan yang tepat,
lagi sentiasa terpelihara).
[59]
Sesungguhnya perbandingan (kejadian)
Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah
telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: "Jadilah
engkau!" maka menjadilah ia.
[60]
Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu.
[61]
Kemudian sesiapa yang membantahmu
(wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang
benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak
kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta
perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita
memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta
supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta".
[62]
Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang
benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah; dan
(ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
[63]
Kemudian kalau mereka berpaling (enggan
menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang
yang berbuat kerosakan.
[64]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami
dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita
tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian
dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan
orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian
jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka
katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami
adalah orang-orang Islam".
[65]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani
memperdebatkan tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil
tidak diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim; patutkah
(kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?
[66]
Ingatlah! Kamu ini orang-orang (bodoh),
kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan
mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat), maka
mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu
sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya? Dan (ingatlah), Allah
mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang kamu tidak mengetahuinya.
[67]
Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang
pemeluk ugama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian,
tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang
Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula
bukanlah dari orang-orang musyrik.
[68]
Sesungguhnya orang-orang yang hampir
sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah
orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta
orang-orang yang beriman (umatnya - umat Islam). Dan (ingatlah), Allah
ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman.
[69]
Segolongan dari Ahli Kitab suka dan
berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka
tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak
menyedari (akibat yang buruk itu).
[70]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?
[71]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur
adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan
kebenaran padahal kamu mengetahuinya?
[72]
Dan berkatalah segolongan dari Ahli
Kitab (sesama sendiri): "Berimanlah kamu kepada Al-Quran yang
diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu: pada sebelah pagi, dan
kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu,
lalu) kembali menjadi kafir semula".
[73]
Dan (mereka berkata lagi): "Janganlah
kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu".
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya petunjuk yang sebenar
benarnya ialah petunjuk Allah". (Mereka berkata pula: "Janganlah kamu
percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah
diberikan kepada kamu, atau mereka akan dapat mengalahkan hujah kamu di
sisi Tuhan kamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya limpah
kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi
pengetahuanNya.
[74]
Allah menentukan pemberian rahmatNya
itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan (ingatlah), Allah mempunyai
limpah kurnia yang besar.
[75]
Dan di antara Ahli Kitab, ada orang
yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta
sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada
pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar
pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau engkau
selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan:
"Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi
dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka
mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).
[76]
Bahkan (mereka berdosa memakan hak
orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak
orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang
yang bertaqwa.
[77]
Sesungguhnya orang-orang yang
mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah
dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang
baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka
dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan
membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya.
[78]
Dan sesungguhnya, di antara mereka
(Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya
semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu
menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari
Kitab itu. Dan mereka pula berkata: "(bahawa) ia adalah (datangnya)
dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula
tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa
mereka adalah berdusta).
[79]
Tidaklah patut bagi seseorang manusia
yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi,
kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu
menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan
menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu
menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala -
dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan
isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.
[80]
Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu
menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia
menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam?
[81]
Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil
perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya): "Sesungguhnya apa
jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula
kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu,
hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu
bersungguh-sungguh menolongnya". Allah berfirman lagi (bertanya kepada
mereka): "Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan
janjiku secara yang demikian itu?" Mereka menjawab: "Kami berikrar
(mengakui dan menerimanya)". Allah berfirman lagi: "Jika demikian, maka
saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu."
[82]
Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
[83]
Patutkah sesudah (mengakui dan menerima
perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal
kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di
bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNya lah
mereka dikembalikan.
[84]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kami
beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami,
dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan
lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang
telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi
dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara
mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)".
[85]
Dan sesiapa yang mencari ugama selain
ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari
akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
[86]
Bagaimana Allah akan memberi petunjuk
hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman,
dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad)
itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka
keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak
akan memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum yang zalim.
[87]
Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya sekalian orang-orang (yang beriman).
[88]
Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau perhatian;
[89]
Kecuali orang-orang yang bertaubat
sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[90]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir
sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak
sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-orang
yang sesat.
[91]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir,
lalu mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan
diterima dari seseorang di antara mereka: emas sepenuh bumi, walaupun
ia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan
mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak
akan beroleh seorang penolong pun. JUZUK KEEMPAT
[92]
Kamu tidak sekali-kali akan dapat
mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu
dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua
yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
[93]
Segala jenis makanan dahulu adalah
halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil
(Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat.
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika ada makanan yang diharamkan kepada
kamu - wahai Bani Israil - sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka
bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul
kamu orang-orang yang benar.
[94]
(Jika tidak) maka sesiapa yang
mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu,
maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[95]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Benarlah
(apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi
Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari
orang-orang musyrik.
[96]
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang
mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah
Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah
bagi umat manusia.
[97]
Di situ ada tanda-tanda keterangan yang
nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi
Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan
Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi
Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang
kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah
Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.
[98]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
Ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal
Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan?"
[99]
Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Mengapa
kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan
(ugama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok
terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? "Dan (ingatlah),
Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
[100]
Wahai orang-orang yang beriman! Jika
kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang
diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi
orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
[101]
Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir
padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam
kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang
teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk
hidayah ke jalan yang betul (lurus).
[102]
Wahai orang-orang yang beriman!
Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan
sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
[103]
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian
kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan
kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa
jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga
kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan
nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu
telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa
jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan
nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat
keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
[104]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu
puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam),
dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada
segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian
ialah orang-orang yang berjaya.
[105]
Dan janganlah kamu menjadi seperti
orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan
berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi
Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang
besar.
[106]
(Ingatlah akan) hari (kiamat yang
padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka
(orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam
legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah kamu
kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka
disebabkan kekufuran kamu itu".
[107]
Adapun orang-orang yang telah putih
berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga),
mereka kekal di dalamnya.
[108]
Itulah ayat-ayat keterangan Allah,
kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan
(ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian
makhlukNya.
[109]
Dan bagi Allah jualah hak milik
segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah
dikembalikan segala urusan.
[110]
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah
sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana)
kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada
segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman
kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab
(Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya),
tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka
ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
[111]
Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani)
tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan
kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka
memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah
dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai
kemenangan.
[112]
Mereka ditimpakan kehinaan (dari
segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya
sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya
mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan
(dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa
kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka
membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu
disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum
Allah).
[113]
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di
antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang
kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah
(Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan
sembahyang).
[114]
Mereka beriman kepada Allah dan hari
akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang
daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula
segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang
demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.
[115]
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka
kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat
dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui
akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.
[116]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir,
harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat
menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka itu ialah
ahli neraka; mereka kekal di dalamnya.
[117]
Bandingan apa yang mereka belanjakan
dalam kehidupan dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik),
samalah seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa
tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya;
dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang
menganiaya diri sendiri.
[118]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu
menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan
berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka
sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian
mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati
mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu
keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
[119]
Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang
(yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan
mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. kamu juga beriman kepada
segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan
apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: "Kami beriman",
tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung
jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad):
"Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu". Sesungguhnya Allah sentiasa
mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
[120]
Kalau kamu beroleh kebaikan
(kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati
mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan
kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan
membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi
pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.
[121]
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika
engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan
tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing
untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[122]
(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu
(pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan
perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka;
dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang
yang beriman itu bertawakal.
[123]
Dan sesungguhnya Allah telah menolong
kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan
lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang).
Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan
kemenangan itu).
[124]
(Ingatlah wahai Muhammad) ketika
engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan
semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu
dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?,"
[125]
Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu)
jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang
kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu
malaikat yang bertanda masing-masing.
[126]
Dan Allah tidak menjadikan bantuan
tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada
kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah
bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang
Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[127]
(Kemenangan Badar itu) kerana Allah
hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina
mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa.
[128]
Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai
Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan
mereka tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat mereka
ataupun Ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang
yang zalim.
[129]
Dan bagi Allah jualah segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi. Ia mengampunkan sesiapa yang
dikehendakiNya, dan dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan
(ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[130]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda,
dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.
[131]
Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.
[132]
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.
[133]
Dan segeralah kamu kepada
(mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan
kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan
bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
[134]
Iaitu orang-orang yang mendermakan
hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan
kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan
(ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara
yang baik;
[135]
Dan juga orang-orang yang apabila
melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera
ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan
sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -,
dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah
lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
[136]
Orang-orang yang demikian sifatnya,
balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan
yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang
beramal.
[137]
Sesungguhnya telah berlaku sebelum
kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah
yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian
perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan
(Rasul-rasul).
[138]
(Al-Quran) ini ialah penerangan
kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi
orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[139]
Dan janganlah kamu merasa lemah
(dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu
berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah
orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan)
jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
[140]
Jika kamu (dalam peperangan Uhud)
mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang
mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendaapat luka yang
sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari
(dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami
gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan
supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap
beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan
sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah),
Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
[141]
Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.
[142]
Adakah kamu menyangka bahawa kamu
akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya)
orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di
antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar
(tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?
[143]
Dan sesungguhnya kamu telah
mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu
menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun
menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).
[144]
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah
seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang
telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau
terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan
(ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan
mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah
akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan
nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
[145]
Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa
tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal)
yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan (dengan
yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan
bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki
balasan akhirat, kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan
Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
[146]
Dan berapa banyak dari Nabi-nabi
(dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang
taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa
yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga
tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan
(ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.
[147]
Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan
(semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan
kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam
urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan);
dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.
[148]
Oleh itu, Allah memberikan mereka
pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang
sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan
(ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.
[149]
Wahai orang-orang yang beriman! Jika
kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu
kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.
[150]
(Janganlah kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dia lah sebaik-baik Penolong.
[151]
Kami akan isikan hati orang-orang
kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan
Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak
menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang
demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk
tempat tinggal bagi orang-orang zalim.
[152]
Dan demi sesungguhnya, Allah telah
menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu
(berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke
masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu
berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka
(melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu
akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di
antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di
antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan
kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran)
kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan
limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya
kepada orang-orang yang beriman.
[153]
(Ingatlah) ketika kamu berundur lari
dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih
berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di
belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya).
Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang
mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka)
yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati
akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa
yang menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan
mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
[154]
Kemudian sesudah (kamu mengalami
kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu
perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan
dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain
yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan
sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah.
Mereka berkata: "Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan
kemenangan yang dijanjikan itu?" Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu
bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut
peraturan yang ditetapkanNya)". Mereka sembunyikan dalam hati mereka
apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama
sendiri): "Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang
dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat
ini?" katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah kamu
sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan
(oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing". Dan (apa
yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk
menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang
ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan
segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
[155]
Bahawasanya orang-orang yang telah
berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua
angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya
mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari
perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa
yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[156]
Wahai orang-orang yang beriman!
Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur
dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara
di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati atau
terbunuh): "Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka
tidak mati dan tidak terbunuh". (Apa yang mereka katakan itu tidak ada
faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan
kepercayaan mereka) yang demikian itu: penyesalan dalam hati mereka.
Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah
sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.
[157]
Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh
pada jalan Allah (dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa -
semasa mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah
dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka
(orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis
kesenangan hidup).
[158]
Demi sesungguhnya! jika kamu mati atau terbunuh, sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan (untuk menerima balasan).
[159]
Maka dengan sebab rahmat (yang
melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah
bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu),
dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka
lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan
yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan
juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal
keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah
bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
[160]
Jika Allah menolong kamu mencapai
kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu;
dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong
kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada
Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.
[161]
Dan tiadalah patut bagi seseorang
Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang),
dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa
bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian
tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah
diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun
(balasannya).
[162]
Adakah orang yang menurut keredaan
Allah itu sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan dari
Allah? Sedang tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah
seburuk-buruk tempat kembali.
[163]
Mereka itu (yang menurut keredaan
Allah, dan yang mendapat kemurkaanNya), mempunyai tingkatan-tingkatan
(pahala atau dosa yang berlainan) di sisi Allah; dan Allah Maha Melihat
akan segala yang mereka kerjakan.
[164]
Sesungguhnya Allah telah mengurniakan
(rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan
dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang
membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang
membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka
(dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran)
dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat).
Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah
dalam kesesatan yang nyata.
[165]
(Patutkah kamu melanggar perintah
Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam
peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu sebanyak dua
kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada musuh dalam peperangan
Badar), kamu berkata: "Dari mana datangnya (kemalangan) ini?
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan
diri kamu sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[166]
Dan apa yang telah menimpa kamu pada
hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera - di medan perang Uhud)
itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak
melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-benarnya)
beriman.
[167]
Dan juga dengan tujuan Ia hendak
melahirkan dengan nyata akan dikatakan kepada mereka: "Marilah
berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah
(diri, keluarga dan harta benda kamu)". Mereka menjawab: "Kalaulah kami
faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah kami mengikut
kamu (turut berperang)". Mereka ketika (mengeluarkan perkataan) itu
lebih dekat kepada kufur dari dekatnya kepada iman. Mereka selalu
menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan
(ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.
[168]
Merekalah juga yang mengatakan
tentang hal saudara-saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang
Uhud), sedang mereka sendiri tidak turut berperang: "Kalaulah mereka
taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak terbunuh".
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian, hindarkanlah maut dari
diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar".
[169]
Dan jangan sekali-kali engkau
menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan
Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara
istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;
[170]
(Dan juga) mereka bersukacita dengan
kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada
mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai
(saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang
masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada
mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian
yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
[171]
Mereka bergembira dengan balasan
nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah
tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.
[172]
Iaitu orang-orang yang menjunjung
perintah Allah dan RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang
menceroboh), sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang
Uhud). Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan
yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar.
[173]
Mereka juga ialah yang diberitahu
oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir
musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu
hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman
mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia
sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".
[174]
Setelah (pergi mengejar musuh),
mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah,
mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula
menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia
yang amat besar.
[175]
Sesungguhnya (pembawa berita) yang
demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu
terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu,
janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan
cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[176]
Dan janganlah engkau berdukacita
(wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri
dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan
dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan
tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat
kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar.
[177]
Sesungguhnya orang-orang yang membeli
(memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan
dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula
beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[178]
Dan jangan sekali-kali orang-orang
kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik
bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah
supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab
seksa yang menghina (di akhirat kelak).
[179]
Allah tidak sekali-kali akan
membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang
(bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu)
sehingga Ia memisahkan yang buruk (manufik) daripada yang baik
(beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu
perkara-perkara yang Ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya
sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya
perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan
Rasul-rasulNya; dan kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh
pahala yang besar.
[180]
Dan jangan sekali-kali orang-orang
yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada
mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik
bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan
dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari
kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi)
langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam
akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan
(korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang
benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?"
[181]
Sesungguhnya Allah telah mendengar
perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah
miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan
perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan
tidak ada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada
mereka: "Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar -
[182]
(Azab seksa) yang demikian itu ialah
disebabkan perbuatan yang - telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri.
Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim
kepada hamba-hambanya."
[183]
Orang-orang (Yahudi itulah) yang
berkata: "Sebenarnya Allah telah perintahkan kami, supaya kami jangan
beriman kepada seseorang Rasul sehingga ia membawa kepada kami korban
yang dimakan api. "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya telah
datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa
keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang
kamu membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam yang kamu
dakwakan itu)?
[184]
Oleh itu, jika mereka mendustakanmu
(wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana
sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan
juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata
dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang
jelas.
[185]
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai
mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan
balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan
dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah
bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan
pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang
yang terpedaya.
[186]
Demi sesungguhnya, kamu akan diuji
pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan
mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada
kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian)
yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa
maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang
dikehendaki diambil berat (melakukannya).
[187]
Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil
perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu):
"Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada
umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya". Kemudian
mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka
menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah
buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan
janjiNya) itu.
[188]
Jangan sekali-kali engkau menyangka
(wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang
mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang
mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan
terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak
terperi sakitnya.
[189]
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[190]
Sesungguhnya pada kejadian langit dan
bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan,
kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang
berakal;
[191]
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan
mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka
berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit
dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau
menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka
peliharalah kami dari azab neraka.
[192]
Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa
yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah
menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang
penolong pun;
[193]
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami
telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman,
katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman.
Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada
kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang
yang berbakti;
[194]
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada
kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui
Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat;
sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji".
[195]
Maka Tuhan mereka perkenankan doa
mereka (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal
orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau
perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya
yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan
ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga
yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan
ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang
terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) - sesungguhnya Aku akan
hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan
mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang
sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)".
[196]
Jangan sekali-kali engkau (wahai
Muhammad) terpedaya oleh usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam
negeri (yang membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).
[197]
(Semuanya) itu hanyalah kesenangan
yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka
neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.
[198]
Tetapi orang-orang yang bertaqwa
kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat
sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari Allah. Dan
(ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang
yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).
[199]
Dan sesungguhnya di antara Ahli
Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang
diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan
kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak
menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang
sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka.
Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
[200]
Wahai orang-orang yang beriman!
Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan
perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih
daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan
kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu
kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).