Al-Hajj
[1]
Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.
[2]
Pada hari kamu melihat
(peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan
melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang
mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan
melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi
azab Allah amatlah berat, mengerikan.
[3]
Dan ada di antara manusia yang membantah
perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah
sebati dengan kejahatan.
[4]
Yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap)
syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia
akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka.
[5]
Wahai umat manusia, sekiranya kamu
menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada
hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia)
kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari
setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari
seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak
disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak
menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan
dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami
rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami
mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga
sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara
kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang
dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak
mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan
(ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian
apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan
tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta
ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.
[6]
(Kedua-dua kenyataan) yang tersebut
membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang
Sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang
menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu.
[7]
Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu
tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa
sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang
yang di dalam kubur.
[8]
Dan ada di antara manusia yang membantah
dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak
berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang
keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang
menerangi kebenaran;
[9]
Ia membantah sambil memalingkan sebelah
badannya dengan sombong angkuh sehingga menghalang dirinya dan orang
lain dari jalan ugama Allah; ia akan beroleh kehinaan di dunia, dan
Kami akan merasakannya azab yang membakar pada hari kiamat kelak;
[10]
(Dengan dikatakan kepadanya): "Azab
yang demikian ini ialah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, kerana
sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada
hamba-hambaNya".
[11]
Dan ada di antara manusia yang
menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu
kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan
kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada
kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat,
itulah kerugian yang terang nyata.
[12]
Ia menyeru dan menyembah
makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang tidak dapat membahayakannya
dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya; itulah kesesatan yang
jauh terpesong.
[13]
Ia menyeru dan menyembah makhluk yang -
dengan perbuatan demikian - mudaratnya lebih dekat dari manfaat yang
diharapkannya; demi sesungguhnya seburuk-buruk penolong dan
seburuk-buruk sahabat karib ialah makhluk yang diseru dan disembahnya
itu.
[14]
Sesungguhnya Allah akan memasukkan
orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai; sesungguhnya Allah melakukan apa
yang ditentukanNya.
[15]
Sesiapa yang menyangka bahawa Allah
tidak sekali-kali akan menolong Nabi Muhammad dalam dunia ini dan di
akhirat kelak, maka hendaklah ia menghulurkan tali (serta mengikatnya)
di bumbong rumahnya, kemudian hendaklah ia menjerut lehernya (supaya ia
mati tercekek); dalam pada itu hendaklah ia memikirkan lebih dahulu,
adakah tipu dayanya itu dapat menghapuskan sebab-sebab yang menimbulkan
kemarahannya?
[16]
Dan demikianlah pula Kami menurunkan
Al-Quran itu sebagai ayat-ayat keterangan yang jelas nyata; dan
sesungguhnya Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut peraturan dan undang-undangNya).
[17]
Bahawasanya orang-orang yang beriman,
dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang
Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik,
sesungguhnya Allah akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari
kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan
tiap-tiap sesuatu.
[18]
Tidakkah engkau mengetahui bahawa
segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di
antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan
gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta
sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang
berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan
(ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh
sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan
apa yang dirancangkanNya.
[19]
Inilah dua golongan (mukmin dan kafir)
yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang
kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta
dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,
[20]
Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka.
[21]
Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka.
[22]
Tiap-tiap kali mereka hendak keluar
dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka
dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang
membakar!"
[23]
Sesungguhnya Allah akan memasukkan
orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang
mengalir padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan
gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera.
[24]
Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat Terpuji.
[25]
Sesungguhnya (amatlah zalim)
orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah
(ugama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haraam (Makkah) yang Kami
jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman)
- sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan
sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di
larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak
terperi sakitnya.
[26]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami
tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami
berfirman kepadanya): "Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu,
dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan
orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan
sembahyang).
[27]
"Dan serukanlah umat manusia untuk
mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu
dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang
kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
[28]
"Supaya mereka menyaksikan berbagai
perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan
menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana
pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk
dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging)
binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah,
yang fakir miskin.
[29]
"Kemudian hendaklah mereka membersihkan
dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan
hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya
itu".
[30]
Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa
yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan
baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang
ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya), maka
jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala,
serta jauhilah perkataan yang dusta, -
[31]
(Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan
tulus ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun
denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan
Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung,
atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).
[32]
Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa
yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang
bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat
taqwa hati orang mukmin.
[33]
Kamu beroleh berbagai-bagai faedah dan
kegunaan pada binatang ternak itu hingga ke suatu masa yang tertentu
(bagi menyembelihnya); kemudian waktu menyembelihnya ketika sampai di
tanah haram Baitullah yang tua sejarahnya itu.
[34]
Dan bagi tiap-tiap umat, Kami
syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka
menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada
mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu
semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat
kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada
orang-orang yang tunduk taat -
[35]
Iaitu orang-orang yang apabila disebut
nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar
(cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang
yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.
[36]
Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan
kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk
kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh
itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di
atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya),
makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain)
kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah
Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya
kamu bersyukur.
[37]
Daging dan darah binatang korban atau
hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang
sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari
kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya
kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan
sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada
orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.
[38]
Sesungguhnya Allah membela orang-orang
yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang
yang khianat, lagi tidak bersyukur.
[39]
Diizinkan berperang bagi orang-orang
(Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya
mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk
menolong mereka (mencapai kemenangan).
[40]
Iaitu mereka yang diusir dari kampung
halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka
diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah".
Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang
pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat
pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat
sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang
sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya
Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam);
sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -
[41]
Iaitu mereka (umat Islam) yang jika
Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka
mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat
kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang
mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
[42]
Dan jika mereka (yang kafir itu)
mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian tidaklah pelik)
kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi
Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan Rasul
masing-masing;
[43]
Dan (demikian juga) kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Lut;
[44]
Dan juga penduduk Madyan; dan Nabi Musa
juga telah didustakan; maka Aku memberi tempoh kepada orang-orang kafir
itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab seksa. Dengan yang
demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.
[45]
Maka bukan sedikit negeri-negeri yang
Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah
bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar,
dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan).
[46]
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka
mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang
tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya
mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat
mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna)
kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi
yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
[47]
Dan mereka meminta kepadamu (wahai
Muhammad) menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali
akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya
satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu
tahun dari yang kamu hitung.
[48]
Dan bukan sedikit negeri-negeri yang
Aku beri tempoh, sedang penduduknya berlaku zalim; kemudian Aku
menimpakannya dengan azab seksa; dan (ingatlah) kepada Akulah tempat
kembali.
[49]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
sekalian manusia, aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran
yang menjelaskan keterangan-keterangan kepada kamu".
[50]
Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
[51]
Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itulah ahli neraka.
[52]
Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu
seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila ia bercita-cita
(supaya kaumnya beriman kepada ugama Allah yang dibawanya), maka
Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu
mencapai cita-citanya; oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang
telah diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya
dengan kukuhnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[53]
(Yang demikian) kerana Allah hendak
menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi
orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan yang
hatinya keras membatu; dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa
berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran.
[54]
Dan juga supaya orang-orang yang
beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari
Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati
mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin
orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.
[55]
Dan orang-orang kafir tetap di dalam
keraguan terhadap Al-Quran hingga datang kepada mereka saat kiamat
secara mengejut, atau datang kepada mereka azab hari yang tidak ada
kebaikan untuk mereka.
[56]
Kuasa pemerintahan pada hari kiamat itu
tertentu bagi Allah. Ia akan menghukum di antara mereka. Maka
orang-orang yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di dalam Syurga
yang penuh dengan segala nikmat dan kesenangan;
[57]
Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan kami, maka mereka beroleh azab seksa yang menghina.
[58]
Dan orang-orang yang berhijrah pada
jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan
mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.
[59]
Sudah tentu Allah akan memasukkan
mereka (yang tersebut itu) ke tempat yang mereka sukai (Syurga), dan
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[60]
Demikianlah (janji balasan Allah yang
melimpah-limpah itu). Dan sesiapa yang membalas kejahatan orang, sama
seperti yang dilakukan kepadanya, kemudian ia dianiaya lagi, demi
sesungguhnya Allah akan menolongnya. (Dalam pada itu ingatlah)
sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[61]
(Pertolongan yang dijanjikan Allah
tetap berlaku) kerana Allah berkuasa menukar gantikan sesuatu keadaan
sebagaimana kuasaNya memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang
pada malam (silih berganti); dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Melihat.
[62]
Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan
luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dia lah sahaja
Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah
selain dari Allah itulah yang nyata palsunya. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar
(kekuasaanNya)
[63]
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah
telah menurunkan hujan dari langit, lalu menjadilah bumi ini hijau
subur (dengan sebabnya)? Sesungguhnya Allah Maha Halus serta
lemah-lembut (urusan tadbirNya), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya
(akan hal-ehwal sekalian makhlukNya).
[64]
Segala yang ada di langit dan di bumi
adalah kepunyaanNya. Dan sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha
Kaya, lagi Maha Terpuji.
[65]
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah
telah memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan
(demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya?
Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali dengan
izinNya; sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan
rahmatNya kepada umat manusia.
[66]
Dan Dia lah yang menghidupkan kamu,
kemudian Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu semula.
Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur.
[67]
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu
syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah
ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu; dan
serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana
sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.
[68]
Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadamu, maka katakanlah: "Allah Amat" mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
[69]
"Allah akan menghukum di antara kamu semua pada hari kiamat, mengenai apa yang kamu berselisihan padanya".
[70]
Bukankah engkau telah mengetahui
bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi?
Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh
Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.
[71]
Dan mereka menyembah yang lain dari
Allah iaitu benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan
membenarkannya, dan yang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan
mengenainya dan (ingatlah) tiadalah bagi orang-orang yang zalim (dengan
perbuatan syirik) itu sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan (di
dunia dan di akhirat).
[72]
Dan apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayat Kami yang jelas nyata, engkau akan dapat melihat pada muka
orang-orang yang kafir itu tanda marah dan benci, hampir-hampir mereka
hendak menerkam dan menyerang orang-orang yang membacakan ayat-ayat
Kami kepada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian,
mahukah, aku khabarkan kepada kamu: yang lebih buruk lagi daripada apa
yang telah menyebabkan kemarahan kamu itu? Ialah neraka yang telah
dijanjikan oleh Allah kepada orang-orang yang kafir, dan itulah
seburuk-buruk tempat kembali! "
[73]
Wahai umat manusia, inilah diberikan
satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan
bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang
lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat
walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika
lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat
mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang
meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada
menunaikannya).
[74]
Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak
menghormati Allah menurut penghormatan yang selayaknya (sebagaimana
yang ditetapkanNya); sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi Maha
Kuasa.
[75]
Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[76]
Ia mengetahui apa yang ada di hadapan
mereka dan apa yang ada di belakang mereka; dan kepada Allah jualah
kembalinya segala urusan.
[77]
Wahai orang-orang yang beriman,
rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah
kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal
kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
[78]
Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah
dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk
mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung
sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu
Ibrahim. Ia menamakan kamu: "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di
dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang
menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak
menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia
(tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang,
dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah
Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja
sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.