Al-Israa'
[1]
Maha Suci Allah yang telah menjalankan
hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah)
ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk
memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami.
Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[2]
Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab
Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta
Kami perintahkan mereka): "Janganlah kamu jadikan yang lain daripadaKu
sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu kepadanya)".
[3]
(Wahai) keturunan orang-orang yang telah
Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya
ia adalah seorang hamba yang bersyukur.
[4]
Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil
dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi
(Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh
dengan melampau.
[5]
Maka apabila sampai masa janji (membalas
kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami
datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas
serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan
membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji
yang tetap berlaku.
[6]
Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami
kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami
beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta
Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.
[7]
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah)
kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu
berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu
juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka
kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan
muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki
masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali
yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah
kuasai, dengan sehancur-hancurnya.
[8]
Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani
kamu (kalau kamu bertaubat); dan jika kamu kembali (menderhaka), maka
Kami pula akan kembali (menyeksa kamu di dunia); dan kami telah jadikan
neraka: penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).
[9]
Sesungguhnya Al-Quran ini memberi
petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita
yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal
soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.
[10]
Dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[11]
Dan manusia berdoa dengan (memohon
supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon
kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.
[12]
Dan Kami jadikan malam dan siang itu
dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda
malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang
itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah
kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan
hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang
kamu perlukan untuk dunia dan ugama kamu), Kami telah menerangkannya
satu persatu (dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.
[13]
Dan tiap-tiap seorang manusia Kami
kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak
Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan
didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
[14]
(Lalu Kami perintahkan kepadanya):
"Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini
menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau
lakukan)".
[15]
Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk
(menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang
didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa
yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung
oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul
dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah
Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul
(untuk menerangkan yang benar dan yang salah).
[16]
Dan apabila sampai tempoh Kami hendak
membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu)
orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya
taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka
berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya
sehancur-hancurnya.
[17]
Dan berapa banyak umat-umat yang kami
telah binasakan sesudah zaman Nabi Nuh; dan cukuplah Tuhanmu (wahai
Muhammad) mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya.
[18]
Sesiapa yang menghendaki (kesenangan
hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami
kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan
baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam
keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.
[19]
Dan sesiapa yang menghendaki akhirat
dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha
yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian
keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.
[20]
Tiap-tiap golongan dari keduanya,
golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari
pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu
tersekat (dari sesiapapun).
[21]
Lihatlah bagaimana Kami lebihkan
sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki
pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar
tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan
kelebihannya.
[22]
Janganlah engkau adakan tuhan yang lain
bersama Allah (dalam ibadatmu), kerana akibatnya engkau akan tinggal
dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan.
[23]
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya
engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah
engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya,
atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang
perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau
menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan
yang mulia (yang bersopan santun).
[24]
Dan hendaklah engkau merendah diri
kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah
(untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada
mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya
memelihara dan mendidikku semasa kecil."
[25]
Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa
yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik
mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi
orang-orang yang bertaubat.
[26]
Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan
orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan
janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.
[27]
Sesungguhnya orang-orang yang boros itu
adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk
yang sangat kufur kepada Tuhannya.
[28]
Dan jika engkau terpaksa berpaling
tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau
harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan
hati.
[29]
Dan janganlah engkau jadikan tanganmu
terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya
dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan
keadaan yang tercela serta kering keputusan.
[30]
Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan
rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang
demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha
Melihat akan hamba-hambaNya.
[31]
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak
kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada
mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah
satu kesalahan yang besar.
[32]
Dan janganlah kamu menghampiri zina,
sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan
yang jahat (yang membawa kerosakan).
[33]
Dan janganlah kamu membunuh diri
seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan
alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka
sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas.
Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu,
kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan
(menurut hukum Syarak).
[34]
Dan janganlah kamu menghampiri harta
anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan
mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus
hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah
dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
[35]
Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu
menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu
baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang
mendatangkan pahala di akhirat kelak).
[36]
Dan janganlah engkau mengikut apa yang
engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya
pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap
akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
[37]
Dan janganlah engkau berjalan di bumi
dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat
menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi
gunung-ganang.
[38]
Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu.
[39]
Perintah yang demikian itu ialah
sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad)
oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama
Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan
dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan
tersingkir (dari rahmat Allah).
[40]
(Jika demikian wajibnya mengesakan
Allah, maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan
anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu
telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk
diriNya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu
adalah memperkatakan dusta yang amat besar.
[41]
Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan
jalan-jalan menetapkan iktiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam
Al-Quran ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran);
dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan
mereka melainkan bertambah liar.
[42]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah
ada tuhan-tuhan yang lain bersama-sama Allah, sebagaimana yang mereka
katakan itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada Allah
yang mempunyai Arasy (dan kekuasaan yang mutlak).
[43]
Maha Sucilah Allah dan tertinggilah Ia setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu.
[44]
Langit yang tujuh dan bumi serta
sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah;
dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi
kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha
Penyabar, lagi Maha Pengampun.
[45]
Dan apabila engkau membaca Al-Quran
(wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki
orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding
yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami
bacaanmu.
[46]
Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai)
tutupan yang berlapis-lapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat
pada telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan mendengar
kebenaran Al- Quran; dan sebab itulah apabila engkau menyebut nama
Tuhanmu sahaja di dalam Al-Quran, mereka berpaling undur melarikan
diri.
[47]
Kami lebih mengetahui akan tujuan
mereka mendengar Al-Quran semasa mereka mendengar bacaanmu (wahai
Muhammad), dan semasa mereka berbisik-bisik iaitu ketika orang-orang
yang zalim itu berkata (sesama sendiri): "Kamu tidak menurut melainkan
seorang yang kena sihir".
[48]
Lihatlah (wahai Muhammad) bagaimana
mereka menyifatkan engkau dengan yang bukan-bukan, maka dengan sebab
itu mereka sesat, sehingga mereka tidak dapat mencari jalan kebenaran.
[49]
Dan mereka berkata: "Adakah sesudah
kita menjadi tulang dan benda yang reput, adakah kita akan dibangkitkan
semula dengan kejadian yang baharu?"
[50]
Katakanlah (wahai Muhammad):" Jadilah kamu batu atau besi -
[51]
Atau lain-lain makhluk yang terlintas
di hati kamu sukar hidupnya, (maka Allah berkuasa menghidupkannya)!"
Mereka pula akan bertanya: "Siapakah yang akan mengembalikan kita hidup
semula?" Katakanlah: "Ialah Allah yang menjadikan kamu pada mulanya!"
Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil bertanya
secara mengejek: Bila berlakunya?" Katakanlah: "Dipercayai akan berlaku
tidak lama lagi!"
[52]
(Ingatlah akan) hari Ia menyeru kamu
lalu kamu menyahut sambil memuji kekuasaanNya, dan kamu menyangka,
bahawa kamu tinggal (dalam kubur) hanya sebentar.
[53]
Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada
hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata
yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran);
sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang
mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang
amat nyata bagi manusia.
[54]
Tuhan kamu lebih mengetahui akan
keadaan kamu; jika Ia kehendaki, Ia akan memberi rahmat kepada kamu;
atau jika Ia kehendaki, Ia akan menyeksa kamu. Dan Kami tidak
mengutusmu kepada mereka (wahai Muhammad), sebagai wakil yang menguasai
urusan mereka.
[55]
Dan Tuhanmu (wahai Muhammad) lebih
mengetahui akan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi; dan
sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas setengahnya
yang lain; dan Kami telah memberikan Kitab Zabur kepada Nabi Daud.
[56]
Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum
musyrik): "Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi
pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa
menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya".
[57]
orang-orang yang mereka seru itu,
masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan
berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya,
serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya;
sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya)
ditakuti.
[58]
Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan
Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa
penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah
tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz).
[59]
Dan tiada yang menghalang Kami dari
menghantar turun mukjizat yang mereka minta itu melainkan kerana jenis
mukjizat itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu; dan di
antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud unta betina
sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata, lalu mereka
berlaku zalim kepadanya; dan biasanya Kami tidak menghantar turun
mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan
orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman).
[60]
Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan
kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan
manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan
pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu
melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami
jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka
takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak
menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.
[61]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami
berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka
sujudlah melainkan iblis; ia berkata: "Patutkah aku sujud kepada
(makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?"
[62]
Ia berkata lagi: "Khabarkanlah
kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau
beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing
menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)".
[63]
Allah berfirman (kepada iblis):
"Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang
menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah
balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.
[64]
Dan desak serta pujuklah sesiapa yang
engkau dapat memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah
penyokong-penyokongmu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk
mengalahkan mereka; dan turut - campurlah dengan mereka dalam
menguruskan harta-benda dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka
(dengan janji-janjimu)". Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh Syaitan
itu melainkan tipu daya semata-mata.
[65]
Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang
beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang
kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai
Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).
[66]
Tuhan kamulah yang menjalankan untuk
kamu kapal-kapal di laut, supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah
kurniaNya; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengasihani kepada kamu.
[67]
Dan apabila kamu terkena bahaya di
laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu)
makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah
selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya);
dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah).
[68]
Adakah kamu - (sesudah diselamatkan ke
darat) - merasa aman (dan tidak memikirkan), bahawa Allah akan
menggempakan sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau dia akan
menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu;
kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang menjadi pelindung kamu?
[69]
Atau adakah kamu merasa aman (dan tidak
memikirkan) bahawa Allah akan mengembalikan kamu sekali lagi ke laut,
kemudian Ia menghantarkan kepada kamu angin ribut yang memecah belahkan
segala yang dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan kamu dengan sebab
kekufuran kamu; kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang boleh
menuntut bela tentang itu terhadap Kami?
[70]
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan
anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai
kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada
mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka
dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami
ciptakan.
[71]
(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap
kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan
Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan
sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik)
sedikitpun.
[72]
Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di
dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di
akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
[73]
Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka
dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan
kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya;
dan (kalau engkau melakukan yang demikian) baharulah mereka menjadikan
engkau sahabat karibnya.
[74]
Dan kalaulah tidak Kami menetapkan
engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah
mendekati dengan menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.
[75]
Jika (engkau melakukan yang) demikian,
tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup
dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak
beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami.
[76]
Dan sesungguhnya mereka hampir-hampir
berjaya mengganggumu daripada tinggal aman di bumi (Makkah) dengan
tujuan mereka dapat mengusirmu dari negeri itu; dan jika berlaku
demikian, maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan
sedikit masa sahaja.
[77]
(Demikianlah) peraturan (Kami yang
tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari
Rasul-rasul Kami; dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi
peraturan Kami yang tetap itu.
[78]
Dirikanlah olehmu sembahyang ketika
gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang
subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan
(keistimewaannya).
[79]
Dan bangunlah pada sebahagian dari
waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai
sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu
pada hari akhirat di tempat yang terpuji.
[80]
Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan
berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku
dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku
daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah
kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku",
[81]
Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran
(Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik);
sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap
lenyap".
[82]
Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur
dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi
orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak
menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka)
melainkan kerugian jua.
[83]
Dan apabila Kami kurniakan nikmat
kepada manusia, berpalinglah ia serta menjauhkan diri (dari bersyukur);
dan apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa.
[84]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tiap-tiap
seorang beramal menurut pembawaan jiwanya sendiri; maka Tuhan kamu
lebih mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul jalannya".
[85]
Dan mereka bertanya kepadamu tentang
roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak
diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
[86]
Dan sesungguhnya jika Kami kehendaki,
tentulah Kami akan hapuskan apa yang Kami telah wahyukan kepadamu,
kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk
mengembalikannya.
[87]
(Tetapi kekalnya Al-Quran itu) hanyalah
sebagai rahmat dari tuhanmu; sesungguhnya limpah kurnianya kepadamu
(wahai Muhammad) amatlah besar.
[88]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan
hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka
tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya,
walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".
[89]
Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan
berulang-ulang kepada manusia, di dalam Al-Quran ini, dengan
berbagai-bagai contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar); dalam
pada itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari kekufuran.
[90]
Dan mereka berkata: "Kami tidak
sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau
memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.
[91]
Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun
dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan
sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar
terus-menerus.
[92]
Atau (sehingga) engkau gugurkan langit
berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan
berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami
menyaksikannya.
[93]
Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah
rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan
kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit
sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami
membacanya". Katakanlah (wahai Muhammad):" Maha Suci Tuhanku! Bukankah
aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?
[94]
Dan tiadalah yang menghalang
orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka
hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi
Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: "Patutkah Allah mengutus
seorang manusia menjadi Rasul?"
[95]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau ada
di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah
kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi
rasul".
[96]
Katakanlah lagi: "Cukuplah Allah
menjadi saksi antaraku dengan kamu; sesungguhnya adalah Ia Amat
Mendalam pengetahuanNya, lagi Amat Melihat akan keadaan
hamba-hambaNya".
[97]
Dan sesiapa yang diberi hidayah
petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai
kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak
sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain
daripadaNya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan
menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu
dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali
malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang
menjulang-julang.
[98]
Balasan mereka yang sedemikian, ialah
kerana mereka kufur ingkarkan ayat-ayat Kami, dan mereka berkata:
"Adakah sesudah Kami menjadi tulang dan benda yang reput, adakah Kami
akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?"
[99]
Tidakkah mereka mahu memikirkan dan
meyakini bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa
menciptakan orang orang yang seperti mereka (dalam bentuk yang baharu),
padahal Ia telahpun menentukan bagi mereka tempoh yang tidak ada syak
padanya.? Dalam pada itu, orang orang yang zalim enggan menerima
melainkan kekufuran.
[100]
Katakanlah (wahai muhammad): "jika
kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah
kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan
sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut".
[101]
Dan sesungguhnya Kami telah memberi
kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan
kebenarannya); maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil
(tentang itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta
menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya:
"Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena
sihir"
[102]
Nabi Musa menjawab: "Sebenarnya
engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan
mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan
langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan
sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa".
[103]
Maka Firaun pun berkira hendak
mengusir mereka dari bumi (Mesir) lalu Kami tenggelamkan dia
bersama-sama pengikut-pengikutnya seluruhnya.
[104]
Dan Kami katakan kepada Bani Israil,
sesudah Firaun (dibinasakan): "Tinggalah kamu di negeri itu kemudian
apabila datang tempoh hari akhirat, Kami datangkan kamu (ke Padang
Mahsyar) dengan bercampur-aduk.
[105]
Dan dengan cara yang sungguh layak
serta berhikmat Kami turunkan Al-Quran, dan dengan meliputi segala
kebenaran ia diturunkan; dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad)
melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang yang
beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar).
[106]
Dan Al-Quran itu Kami
bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan
lambat tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.
[107]
Katakanlah (wahai Muhammad kepada
orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran
atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya
orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran
kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan
khusyuk);
[108]
Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya): "Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana. "
[109]
Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.
[110]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah
nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan
(dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai
banyak nama-nama yang baik serta mulia". Dan janganlah engkau
nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau
perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara
itu.
[111]
Dan katakanlah: "Segala puji tertentu
bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam
urusan kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu
kelemahanNya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNya
dengan bersungguh-sungguh!"