Ar-R'ad
[1]
Alif, Laam, Miim, Raa'. Ini ialah
ayat-ayat Kitab (Al-Quran); dan apa yang diturunkan kepadamu (wahai
Muhammad) dari Tuhanmu adalah benar; tetapi kebanyakan manusia tidak
(mahu) beriman.
[2]
Allah jualah yang menjadikan langit
terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu
melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan
matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu
dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah
jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda
kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan
kamu (untuk menerima balasan).
[3]
Dan Dia lah yang menjadikan bumi
terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh)
serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis
buah-buahan, Ia jadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi
siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu
mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir.
[4]
Dan di bumi ada beberapa potong tanah
yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada
kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar
(kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan
air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang
lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu)
berfikir serta memahaminya.
[5]
Dan jika engkau merasa hairan (wahai
Muhammad), maka sungguh menghairankan perkataan mereka yang kafir itu
(yang mengatakan): "Adalah apabila kami telah menjadi tanah betulkah
kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu?" Mereka
itulah orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan mereka, dan merekalah
yang dibelenggu dengan belenggu-belenggu pada leher mereka; dan
merekalah juga ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[6]
Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan
kedatangan perkara buruk (azab yang dijanjikan) sebelum mereka memohon
kebaikan; padahal sesungguhnya telah berlaku sebelum mereka
peristiwa-peristiwa azab yang telah menimpa orang-orang yang kafir
seperti mereka. dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu Amat melimpah
keampunanNya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka,
dan sesungguhnya Tuhanmu juga amatlah keras balasan azabNya (terhadap
golongan yang tetap ingkar).
[7]
Dan berkatalah orang-orang yang kafir:
"Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) sesuatu mukjizat dari
Tuhannya?" Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul
pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap umat
(yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar.
[8]
Allah mengetahui akan apa yang dikandung
oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung
dalam rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah
ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu.
[9]
Dia lah yang mengetahui perkara-perkara
yang ghaib dan yang nyata; Dia lah jua Yang Maha Besar, lagi maha
Tinggi (Yang mengatasi segala-galanya).
[10]
Sama sahaja kepadaNya: sesiapa di
antara kamu yang merahsiakan kata-katanya dalam hati dan yang
menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar
berjalan pada waktu siang.
[11]
Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat
penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang
mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan
apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala
bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun
yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak
ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain
daripadaNya.
[12]
Dia lah yang memperlihatkan kilat
kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir), dan memberi harapan
(dengan turunnya hujan); dan Ia yang menjadikan awan tebal yang berat
(dengan air).
[13]
Dan Dia lah juga yang guruh dan
malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga
yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada
sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta
mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan
kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya.
[14]
Kuasa menerima ibadat yang benar adalah
tertentu bagi Allah; dan benda-benda yang mereka sembah yang lain dari
Allah, tidak akan dapat menyahut atau memberikan sesuatupun kepada
mereka, hanyalah seperti orang yang membentangkan kedua tapak tangannya
kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air itu sudah tentu tidak
akan sampai kepadanya. Dan tiadalah ibadat dan doa permohonan
orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan.
[15]
Dan kepada Allah jualah sekalian
makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan
sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang
mereka; pada waktu pagi dan petang.
[16]
Bertanyalah (wahai Muhammad): "Siapakah
Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi?" Jawablah:
"Allah". Bertanyalah lagi: "Kalau demikian, patutkah kamu menjadikan
benda-benda yang lain dari Allah sebagai Pelindung dan Penolong, yang
tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri, dan
tidak dapat menolak sesuatu bahaya?" Bertanyalah lagi: "Adakah sama,
orang yang buta dengan orang yang celik? Atau adakah sama, gelap-gelita
dengan terang? Atau adakah makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu
bagi Allah itu telah mencipta sesuatu seperti ciptaanNya, sehingga
ciptaan-ciptaan itu menjadi kesamaran kepada mereka?" Katakanlah:
"Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha
Esa, lagi Maha Kuasa".
[17]
Ia menurunkan air (hujan) dari langit,
lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya
yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu
membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang dibakar di
dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang
diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi
misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun
buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala
benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di
bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.
[18]
Bagi orang-orang yang menyahut seruan
Tuhan mereka sahajalah balasan yang sebaik-baiknya; dan orang-orang
yang ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka mempunyai
segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan sebanyak itu lagi,
tentulah mereka rela menebus diri dengannya. mereka itu disediakan
baginya hitungan hisab yang seburuk-buruknya, serta tempat kembali
mereka ialah neraka jahanam; dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.
[19]
Maka adakah orang yang mengetahui
bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai
Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya?
Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah
orang-orang yang berakal sempurna.
[20]
Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu; -
[21]
Dan orang-orang yang menghubungkan
perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang
menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada
kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada
hari kiamat); -
[22]
Dan orang-orang yang sabar kerana
mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan
sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada
mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak
kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan
baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -
[23]
Iaitu Syurga yang kekal yang mereka
akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh
dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka;
sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap
pintu; -
[24]
(Memberi hormat dengan berkata):
"Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu.
Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.
[25]
Dan (sebaliknya) orang-orang yang
merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan
memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan,
serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, - mereka
itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang
seburuk-buruknya.
[26]
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa
yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang
ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu
tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding
dengan kesenangan hari akhirat.
[27]
Dan orang-orang yang kafir berkata:
"Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari
Tuhannya? "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah menyesatkan
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan
memberi petunjuk ke jalan ugamanya, sesiapa yang rujuk kepadaNya, -
[28]
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan
tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan
"zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
[29]
Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.
[30]
Demikianlah, Kami utuskan engkau (wahai
Muhammad) kepada satu umat yang telah lalu sebelumnya beberapa umat
yang lain, supaya engkau membacakan kepada mereka Al-Quran yang Kami
wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur kepada (Allah) Ar-Rahman
Katakanlah: "Dia lah Tuhanku, tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah tempat
kembaliku (dan kamu semuanya)".
[31]
Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci
yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya,
atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya,
atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab
kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab Suci
yang mengandungi mukjizat. (Tetapi lahirnya sesuatu mukjizat itu adalah
menurut kehendak Allah), bahkan segala urusan tertentu bagi Allah. Maka
tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah
menghendaki tentulah Ia memberi petunjuk kepada umat manusia
seluruhnya, (lalu menjadikan mereka semuanya beriman). Dan orang-orang
yang kafir itu (dengan sebab kekufuran mereka) sentiasa ditimpa bala
bencana (ke atas diri atau harta benda mereka); atau pun bala bencana
itu turun menimpa tempat-tempat yang berhampiran dengan tempat tinggal
mereka (lalu menjadikan mereka gempar kecemasan), sehinggalah datang
janji Allah (hari kiamat dan azabnya); Sesungguhnya Allah tidak
memungkiri janjiNya.
[32]
Dan sesungguhnya telahpun
diejek-ejekkan Rasul-rasul yang diutus sebelummu (wahai Muhammad), lalu
aku biarkan orang-orang yang tidak percayakan Rasul-rasul itu ke suatu
masa yang tertentu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab; maka
tidaklah terperi seksanya azabKu itu.
[33]
Setelah diketahui demikian maka
tidaklah patut disamakan Allah Tuhan yang berkuasa mengawas, tiap-tiap
diri dan mengetahui akan apa yang telah diusahakan oleh diri-diri itu,
(dengan makhluk yang tidak bersifat demikian). Dalam pada itu, mereka
yang kafir telah menjadikan beberapa makhluk sebagai sekutu bagi Allah.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Namakanlah kamu akan mereka (yang kamu
sembah itu). Atau adakah kamu hendak memberi tahu kepada Allah akan apa
yang tidak diketahuiNya di bumi? Atau adakah kamu menamakannya dengan
kata-kata yang lahir (sedang pada hakikatnya tidak demikian)?" Bahkan
sebenarnya telah diperhiaskan oleh Iblis bagi orang-orang yang kafir
itu akan kekufuran dan tipu daya mereka (terhadap Islam), dan mereka
pula disekat oleh hawa nafsu mereka daripada menurut jalan yang benar.
Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya
yang salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah
petunjuk kepadanya.
[34]
Mereka beroleh azab dalam kehidupan
dunia, dan sesungguhnya azab hari akhirat lebih menyeksakan lagi; dan
tiadalah bagi mereka, sesiapapun yang dapat melindungi mereka dari azab
Allah itu.
[35]
Sifat Syurga yang dijanjikan kepada
orang-orang yang bertaqwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa
mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus dan
naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang
bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah
neraka.
[36]
Dan orang-orang yang Kami berikan
Kitab, mereka bersukacita dengan apa yang Kami turunkan kepadamu (wahai
Muhammad) dan di antara beberapa kumpulan dari orang-orang itu ada yang
mengingkari sebahagiannya. Katakanlah: "Sesungguhnya aku hanya
diperintahkan supaya menyembah Allah, dan supaya aku tidak
mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain: kepadaNyalah aku menyeru
(manusia semuanya untuk menyembahNya), dan kepadaNyalah tempat
kembaliku (dan kamu semuanya untuk menerima balasan)".
[37]
Dan demikianlah Kami menurunkan
Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika
engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah
datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah
engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi
perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).
[38]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah
mengutus Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka
isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi
seseorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan
izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya perkara dan
hukum yang telah ditentukan oleh "Suratan Azali".
[39]
Allah menghapuskan apa jua yang
dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan
(ingatlah) pada sisiNya ada "Ibu segala suratan".
[40]
Sama ada Kami perlihatkan kepadamu
(wahai Muhammad) sebahagian dari azab yang Kami janjikan untuk mereka
(yang ingkar) atau kami wafatkanmu sebelum melihatnya maka tidaklah
menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-hukum yang
kami turunkan kepadamu; dan urusan Kami menghitung dan membalas amal
mereka.
[41]
Mengapa mereka yang kafir itu masih
berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa
menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit
demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya? Dan (ingatlah) Allah
menghukum menurut apa yang dikehendakiNya; tiada sesiapapun yang dapat
menghalang hukumNya, dan dia lah juga yang amat cepat hitungan
hisabNya.
[42]
Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang
sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (terhadap Nabi-nabi
mereka): oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah
kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Ia mengetahui apa yang
diusahakan oleh tiap-tiap diri; dan orang-orang yang kafir akan
mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan yang buruk) pada hari
akhirat kelak.
[43]
Dan orang-orang yang kafir itu berkata:
"Engkau bukanlah seorang Rasul dari Allah". Katakanlah (kepada mereka):
"Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga disaksikan
oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai Kitab Allah".