Hud
[1]
Alif, Laam, Raa'. Al-Quran sebuah Kitab
yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula
kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari
sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
[2]
(Al-Quran yang demikian sifatnya
diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah sesuatupun
melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku diutus
oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang
(ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang
(beriman).
[3]
Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada
Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk
kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup
yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di
akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai
kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya
itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka
sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar
(huru-haranya).
[4]
Kepada Allah jualah kembalinya kamu, dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
[5]
Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang
ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan
buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa
mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui
apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya
Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.
[6]
Dan tiadalah sesuatupun dari
makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang
menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia
disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata
(kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).
[7]
Dan Dia lah yang menjadikan langit dan
bumi dalam masa, sedang "ArasyNya, berada di atas air (Ia menjadikan
semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih
baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad)
berkata: "Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati"
tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: "Ini tidak lain,
hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)".
[8]
Dan demi sesungguhnya! Jika kami
tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu masa yang
tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): "Apakah yang
menghalangnya?" Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu kepada mereka,
tidak akan dapat ditolak daripada menimpa mereka, dan tentulah mereka
akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.
[9]
Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan
manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik
pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat
tidak bersyukur.
[10]
Dan demi sesungguhnya! kalau Kami
memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia
akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang
menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira,
lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).
[11]
Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
[12]
Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad)
tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta
merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang
ingkar itu berkata: "Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad)
perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama
dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?" Kerana
sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada
orang-orang yang ingkar, dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan
tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri kepadaNya).
[13]
Bukan itu sahaja kata-kata mereka
bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: "Ia (Muhammad) yang
mereka-reka Al-Quran itu! " katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika
demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah
rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja
yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu
orang-orang yang benar".
[14]
Oleh itu, jika mereka
(penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu
(untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka
ketahuilah bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan
Allah, dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.
Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui
Islam dan menurut aturannya?
[15]
Sesiapa yang keadaan usahanya
semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan
tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami
akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak
dikurangkan sedikitpun padanya.
[16]
Merekalah orang-orang yang tidak ada
baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada
hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa
yang mereka telah kerjakan.
[17]
Jika demikian, adakah sama mereka itu
dengan orang-orang yang keadaannya sentiasa berdasarkan bukti yang
terdapat dari (benda-benda yang diciptakan oleh) Tuhannya, dan diikuti
oleh Kitab Suci Al-Quran memberi kenyataan - sebagai saksi dari pihak
Tuhan meneguhkan bukti yang tersebut; dan sebelum itu, kenyataan yang
serupa diberi oleh Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat
(kepada umatnya)? Orang-orang yang berkeadaan demikian, mengakui -
menerima Al-Quran; dan sesiapa ingkar akan Al-Quran itu dari
kumpulan-kumpulan kaum kafir, maka nerakalah dijanjikan menjadi
tempatnya. Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan
ragu-ragu terhadap Al-Quran, kerana sesungguhnya Al-Quran itu adalah
perkara yang benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak
percaya kepadanya.
[18]
Dan tidak ada yang lebih zalim daripada
orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah!
Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka,
dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat,
Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): "Inilah
orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka". Ketahuilah
(sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!
[19]
Orang-orang yang menghalang dirinya
sendiri dan orang lain dari jalan ugama Allah dan berusaha supaya jalan
itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari
akhirat;
[20]
Mereka itu tidak akan dapat melemahkan
kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka dengan azab di dunia, dan
tidak ada pula bagi mereka, yang lain dari Allah, sesiapapun yang dapat
menolong melepaskan mereka dari seksaNya. Azab untuk mereka akan
digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan ugama Allah), sehingga
mereka tidak tahan mendengarnya, dan tidak pula suka melihat
tanda-tanda kebenarannya.
[21]
Merekalah orang-orang yang merugikan diri sendiri, dan hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.
[22]
Tidak syak lagi, bahawa sesungguhnya merekalah yang paling rugi, pada hari akhirat kelak.
[23]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman
dan mengerjakan amal yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat
kepada Tuhan mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka
kekal di dalamnya.
[24]
Bandingan dua golongan (yang kafir dan
yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan
orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama
keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu
mahu mengambil peringatan dan insaf?
[25]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah
utuskan Nabi Nuh lalu ia memberitahu kaumnya dengan berkata:
"Sesungguhnya aku ini seorang Rasul pemberi amaran yang nyata kepada
kamu.
[26]
"Iaitu janganlah kamu menyembah
melainkan Allah; sesungguhnya aku bimbang (jika kamu menyembah yang
lainnya), kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari
pembalasan".
[27]
Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir
dari kaumnya: "Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai
seorang manusia seperti kami; dan kami tidak nampak golongan yang
mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi berfikiran
singkat; dan kami juga tidak memandang kamu (semua) mempunyai sebarang
kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami menganggap kamu orang-orang
pendusta".
[28]
Nabi Nuh berkata: "Wahai kaumku! Jika
keadaanku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, serta Ia
mengurniakan pangkat Nabi kepadaku dari sisiNya, kemudian bukti yang
nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu (disebabkan keingkaran kamu
yang telah sebati), maka adakah kamu nampak ada gunanya Kami memaksa
kamu menerima bukti itu sedang kamu tidak suka kepadanya?
[29]
Dan (ketahuilah) wahai kaumku! Aku
tidak meminta kepada kamu sebarang harta benda sebagai upah
menyampaikan ugama Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan
dari Allah semata-mata; dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang
beriman (sebagaimana yang kamu minta itu), kerana sesungguhnya mereka
akan menemui Tuhan mereka (dan pada hari itu mereka akan menuntut dan
menerima hak masing-masing); tetapi aku nampak kamu semua, kaum yang
tidak mengetahui apa yang mesti diketahui.
[30]
Dan lagi wahai kaumku! Siapakah yang
akan menolongku dari azab Allah jika aku menghalau mereka? Maka mengapa
kamu tidak mahu ingatkan kekuasaan Allah?
[31]
Dan aku tidak pernah berkata kepada
kamu: di sisiku ada perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa
mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa
aku ini malaikat; dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang yang
beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak akan memberi
kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui akan apa yang ada di
dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika bertindak demikian, nescaya
menjadilah aku dari orang-orang yang zalim".
[32]
Mereka berkata: "Wahai Nuh!
Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau
banyakkan sangat hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada
kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada
kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar".
[33]
Nabi Nuh menjawab: "Sesungguhnya Allah
jualah yang akan mendatangkan azabNya itu kepada kamu jika Ia
kehendaki, dan kamu tidak sekali-kali akan dapat melemahkan kuasa
Allah!
[34]
Dan tidak ada gunanya nasihatku kepada
kamu, jika aku hendak menasihati kamu, kalau Allah hendak menyesatkan
kamu (kerana kamu tetap berdegil); Dia lah Tuhan kamu dan kepadaNya
kamu akan kembali".
[35]
(Mereka terus berdegil), bahkan mereka
menuduh dengan mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara dusta:
bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya. Nabi Nuh
diperintahkan menjawab dengan berkata: "Kalau aku yang mereka-reka
wahyu itu maka akulah yang akan menanggung dosa perbuatanku itu, dan
sebenarnya aku bersih dari dosa kesalahan kamu menuduhku".
[36]
Dan (setelah itu) diwahyukan kepada
Nabi Nuh: "Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu
melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah
engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.
[37]
Dan buatlah bahtera dengan pengawasan
serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara
membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum
yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan
taufan)".
[38]
Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu,
dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina
bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: "Jika kamu
memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya
kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai
(balasan) ejekan kamu.
[39]
Maka kamu akan mengetahui siapakah yang
akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia, dan yang akan
ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak".
[40]
(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga
apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air
memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan),
Kami berfirman kepada Nabi Nuh: "Bawalah dalam bahtera itu dua dari
tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu
kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan
kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman". Dan tidak ada
orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit
sahaja.
[41]
Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh
(kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): "Naiklah kamu ke bahtera
itu sambil berkata: ' Dengan nama Allah bergerak lajunya dan
berhentinya '. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani."
[42]
(Mereka semua naik) dan bahtera itupun
bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang,
dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di
tempat yang terpisah daripadanya: "Wahai anakku, naiklah bersama-sama
kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir".
[43]
Anaknya menjawab: "Aku akan pergi
berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada
ditenggelamkan oleh air". Nabi Nuh berkata: "Hari ini tidak ada
sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang
yang dikasihani olehNya". Dan dengan serta-merta ombak itu pun
memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu)
dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.
[44]
Dan (setelah binasanya kaum kafir itu)
diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: "Wahai bumi
telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu". Dan
(ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu.
Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi" serta
diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): "Kebinasaanlah akhirnya
bagi orang-orang yang zalim".
[45]
Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya
dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku
sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah
sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya".
[46]
Allah berfirman: "Wahai Nuh!
Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah
terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya
bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon
kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.
Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".
[47]
Nabi Nuh berkata: "Wahai Tuhanku!
Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku
tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan jika Engkau tidak
mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah
aku dari orang-orang yang rugi".
[48]
Allah berfirman: Wahai Nuh! Turunlah
(dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan
kepada umat-umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada
umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan
kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab
dari Kami yang tidak terperi sakitnya".
[49]
(Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari
perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai
Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini.
Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa
kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang
yang bertaqwa.
[50]
Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan
saudara mereka: Nabi hud ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan
Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. kamu
hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta
(terhadap Allah).
[51]
Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta
sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu.
Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu
tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)?
[52]
Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada
Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan
kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping
kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan
seruanku dengan terus melakukan dosa!
[53]
Mereka berkata: "Wahai Hud! Engkau
tidak membawa kepada kami sebarang keterangan yang membuktikan
kebenaranmu, dan kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan
kami dengan sebab kata-katamu itu! Dan kami tidak sekali-kali percaya
kepadamu!
[54]
" Kami hanya boleh berkata bahawa
setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila
(disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu)". Nabi Hud
menjawab: "Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi saksi tentang
kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa aku bersih dari dosa
perbuatan syirik kamu -
[55]
" Menyembah yang lain dari Allah. Maka
rancangkanlah tipu helah kamu semua terhadapku, kemudian jalankan
terus, janganlah kamu beri tempoh kepadaku mempertahankan diri.
[56]
" Kerana sesungguhnya aku telah
berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun
dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah
yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus.
[57]
Dalam pada itu, jika kamu
membelakangkan juga seruanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana
aku telah sampaikan kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk
menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan suatu kaum
yang lain (setelah kamu dibinasakan); dan kamu pula tidak akan dapat
membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengawal dan
Pemulihara tiap-tiap sesuatu."
[58]
Dan apabila datang azab Kami, Kami
selamatkan Nabi Hud beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat
dari Kami; dan Kami selamatkan mereka dari azab yang keras.
[59]
Dan itulah peristiwa kaum Aad mereka
mengingkari ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka
kepada Rasul-rasulnya; dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua yang
bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya.
[60]
Dan mereka ditimpa laknat (yang tidak
putus-putus) dalam dunia ini dan pada hari kiamat. Ketahuilah
Sesungguhnya kaum Aad itu telah kufur ingkar kepada Tuhan mereka
ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi Aad: kaum Nabi
Hud.
[61]
Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan
saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu
akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia
lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu
memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan
syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid.
Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan
permohonan hambaNya".
[62]
Mereka menjawab dengan berkata: "Wahai
Soleh, sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang yang diharap dalam
kalangan kami (untuk memimpin kami); patutkah engkau melarang kami
daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk nenek kami? Dan
(ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam keadaan ragu-ragu yang
merunsingkan tentang apa yang engkau serukan kami kepadanya".
[63]
Nabi Soleh berkata: "Wahai kaumku!
Bagaimana fikiran kamu, jika aku berada dalam kebenaran yang
berdasarkan bukti yang nyata (mukjzat) dari Tuhanku, dan Ia pula
mengurniakan rahmat (pangkat Nabi) kepadaku sebagai pemberian
daripadaNya, maka siapakah yang akan menolongku dari azab Allah kalau
aku menderhaka kepadaNya? Oleh itu, kamu tidak menambah sesuatu
kebaikan pun bagiku selain daripada perkara yang merugikan.
[64]
" Dan wahai kaumku! Ini adalah unta
betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan
kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di bumi Allah dan
janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau
kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa
datangnya".
[65]
Mereka kemudiannya menyembelih unta
itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu
di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu,
ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan".
[66]
Maka ketika datang azab kami, kami
selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami,
dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu.
Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
[67]
Dan orang-orang yang zalim itu,
dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu
menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal
masing-masing.
[68]
(Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka
tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! Sesungguhnya kaum Thamud itu
kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya
bagi kaum Thamud.
[69]
Dan sesungguhnya telah datang malaikat
utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang
mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: "Salam
sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)". Nabi Ibrahim menjawab: "Salam
sejahtera kepada kamu". Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa
jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang.
[70]
Maka apabila ia melihat tangan mereka
tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik akan hal mereka serta
merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka
berkata: "Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini
diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)".
[71]
Dan isterinya pada ketika itu berdiri
(mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka
Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui
malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah
Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.
[72]
Isterinya berkata: "Sungguh ajaib
keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan
suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara
yang menghairankan".
[73]
Malaikat-malaikat itu berkata:
"Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan
oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada
kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha
Melimpah kebaikan dan kemurahanNya".
[74]
Maka apabila hilang perasaan takut dari
hati Nabi Ibrahim, dan sampai kepadanya berita yang mengembirakan itu,
(mulailah) ia membantah (utusan-utusan) kami tentang (azab yang akan
menimpa) kaum Nabi Lut.
[75]
Sesungguhnya Nabi Ibrahim, penyabar, lembut hati (bertimbang rasa) lagi suka kembali kepada Allah dengan mengerjakan amal bakti.
[76]
(Malaikat-malaikat itu berkata): "Wahai
Ibrahim! Janganlah dihiraukan hal ini. Sesungguhnya telah datang
perintah Tuhanmu (menghukum mereka), dan sesungguhnya mereka akan
didatangi azab yang tidak akan dapat ditolak (oleh bantahan atau doa
permohonan)".
[77]
Dan apabila datang utusan-utusan Kami
kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa
tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil
berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan".
[78]
Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya
(dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu
sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di
sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka
berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan
janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah
ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat
memberi nasihat)?"
[79]
Mereka menjawab: "Sesungguhnya engkau
telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada
anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa
yang kami kehendaki."
[80]
Nabi Lut berkata: "Kalaulah aku ada
kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke sesuatu
tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan
membinasakan kamu)".
[81]
(Mendengarkan yang demikian tetamunya
berkata: "Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan
Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat
melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari
sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah
seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu,
sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia
memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk
menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh
itu sudah dekat?"
[82]
Maka apabila datang (masa perlaksanaan)
perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan
(tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya
dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.
[83]
Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.
[84]
Dan kepada penduduk "Madyan" Kami
utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. Ia berkata: "Wahai kaumku!
Sembahlah kamu akan Allah! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain
daripadaNya. Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan.
Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya
aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi (orang-orang
yang bersalah).
[85]
Dan wahai kaumku! Sempurnakanlah
sukatan dan timbangan dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia
akan benda-benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan
bencana kerosakan di muka bumi.
[86]
Limpah kurnia Allah kepada kamu lebih
baik bagi kamu (daripada yang kamu ambil secara haram itu), jika betul
kamu orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah orang yang menjaga dan
mengawas perbuatan kamu".
[87]
Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah
sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya
meninggalkan apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami
lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan harta
kami? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang yang penyabar,
lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau menyuruh kami melakukan
perkara yang bertentangan dengan kebiasaan kami)?"
[88]
Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku!
Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari
Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian
daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku
tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu
daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya
upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya
melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah
diri dan kepadaNyalah aku kembali.
[89]
Dan wahai kaumku! Janganlah permusuhan
kamu terhadapku menyebabkan kamu ditimpa bala bencana sebagaimana yang
telah menimpa kaum Nabi Nuh, atau kaum Nabi Hud, atau kaum Nabi Soleh.
Dan kaum Nabi Lut pun tidaklah jauh dari kamu (kamu sedia mengetahui
apa yang telah menimpa mereka).
[90]
Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu,
kemudian kembalilah taat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha
Mengasihani, lagi Maha Pengasih".
[91]
Mereka berkata: "Wahai Syuaib,! kami
tidak mengerti kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu, dan
sesungguhnya kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami;
dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah
melemparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukanlah orang
yang dipandang mulia dalam kalangan kami!"
[92]
Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku!
(Mengapa kamu bersikap demikian)? Patutkah kaum keluargaku kamu pandang
lebih mulia dari pada Allah serta kamu pula jadikan perintahNya sebagai
sesuatu yang dibuang dan dilupakan di belakang kamu? Sesungguhnya
Tuhanku Amat Meliputi pengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
[93]
" Dan wahai kaumku, buatlah sedaya
upaya kamu (untuk menentang ugama Allah yang aku sampaikan itu),
sesungguhnya aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh (untuk
mengembangkannya). Kamu akan ketahui siapakah yang akan didatangi azab
yang menghinakannya, dan siapa pula yang berdusta. Dan tunggulah,
sesungguhnya aku juga turut menunggu bersama-sama kamu".
[94]
Dan ketika datang (masa perlaksanaan)
perintah Kami, Kami selamatkan Nabi Syuaib beserta dengan umatnya yang
beriman, dengan rahmat dari Kami; dan orang-orang yang zalim itu
dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah
mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.
[95]
(Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka
tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah! kebinasaanlah akhirnya bagi
penduduk Madyan, sebagaimana binasanya kaum Thamud.
[96]
Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami, dan bukti (mukjizat) yang nyata:
[97]
Kepada Firaun dan kaumnya; lalu kaum Firaun menurut perintah Firaun, sedang perintahnya itu bukanlah perintah yang betul.
[98]
Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari
kiamat kemudian tetaplah ia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan
seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.
[99]
Dan mereka diiringi oleh laknat yang
tidak putus-putus di dunia ini, dan pada hari kiamat. (Sebenarnya)
laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan.
[100]
Yang demikian, ialah sebahagian dari
khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami
ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang
masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah
hancur lebur (dan hilang lenyap).
[101]
Dan tiadalah Kami menganiaya mereka,
tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala
yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka
sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang
mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka.
[102]
Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila
ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya
azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.
[103]
Sesungguhnya pada kejadian yang
demikian, ada tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang takut
kepada azab akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan
hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.
[104]
Dan tiadalah Kami lambatkan hari kiamat itu melainkan untuk suatu tempoh yang tertentu.
[105]
(Pada) masa datangnya (hari kiamat
itu), tiadalah seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya
atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara
mereka ada yang celaka, dan ada pula yang berbahagia.
[106]
Adapun orang-orang yang celaka
(disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah
tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan
mendayu-dayu (seperti suara keldai).
[107]
Mereka kekal di dalamnya selagi ada
langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya
Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.
[108]
Adapun orang-orang yang berbahagia
(disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya.
Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang
dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak
putus-putus.
[109]
Maka janganlah engkau (wahai
Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu tentang sia-sianya apa yang
disembah oleh mereka yang musyrik itu. Mereka tidak menyembah melainkan
sama seperti yang disembah oleh datuk nenek mereka yang musyrik dahulu.
Dan sesungguhnya Kami akan menyempurnakan bagi mereka bahagian mereka
(dari azab yang telah ditentukan) dengan tidak dikurangi.
[110]
(Janganlah engkau merasa bimbang
wahai Muhammad tentang keingkaran kaummu) kerana sesungguhnya Kami
telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku
pertentangan mengenainya. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu
kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga ke
suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan
serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka masih menaruh
perasaan ragu-ragu tentang (kebenaran Al-Quran) itu.
[111]
Dan sesungguhnya tiap-tiap seorang
akan disempurnakan oleh Tuhanmu balasan amal mereka; sesungguhnya Allah
Amat Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
[112]
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai
Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana
yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk
kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah
kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat
akan apa yang kamu kerjakan.
[113]
Dan janganlah kamu cenderung kepada
orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api
neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun
yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu)
kamu tidak akan mendapat pertolongan.
[114]
Dan dirikanlah sembahyang (wahai
Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan
petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu
malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu
menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah
menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.
[115]
Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau
dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah
tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.
[116]
Maka sepatutnya ada di antara umat
yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang
berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari
perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang
melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah
selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu
telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka
dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.
[117]
Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak
membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya,
selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.
[118]
Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad)
menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama
yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka
terus-menerus berselisihan.
[119]
Tetapi orang-orang yang telah diberi
rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah)); dan untuk
(perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan
yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan
memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang
berdosa)".
[120]
Dan tiap-tiap berita dari berita
Rasul-rasul itu, kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk
menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini
kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang yang
beriman.
[121]
Dan katakanlah kepada orang-orang
yang tidak beriman: "Buatlah apa yang kamu sanggup melakukannya (dari
perbuatan ingkar itu). Sesungguhnya kami juga tetap mengerjakan
(nasihat pengajaran yang Tuhan berikan kepada kami).
[122]
Dan tunggulah (akibat yang buruk yang
akan menimpa kamu)! Sesungguhnya kami juga menunggu (akan kemenangan
dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah kepada kami)".
[123]
Dan Allah jualah yang mengetahui
rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan.
Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan
(ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.