Yunus
[1]
Alif, Laam Raa' ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.
[2]
Tidaklah patut adanya pada manusia yang
ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada
seorang lelaki dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman
kepadanya): "Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan
balasan azab) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada
orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada persediaan yang
sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang
mereka kerjakan). (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan
menyampaikan berita yang mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir
(yang merasa hairan) itu: "Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang
terang nyata."
[3]
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang
menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di
atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat
memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat
demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan
keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya;
patutkah kamu - setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu
mengingatiNya?
[4]
KepadaNyalah kembalinya kamu semua,
sebagai janji Allah yang benar. Sesungguhnya Dia lah yang memulakan
kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula
sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan beramal
soleh dengan adil; dan orang-orang yang kafir pula, disediakan bagi
mereka minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab yang tidak
terperi sakitnya, disebabkan mereka ingkar dan berlaku kufur.
[5]
Dia lah yang menjadikan matahari
bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang
menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada
tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui
bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu
melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah
menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi
kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).
[6]
Sesungguhnya pada pertukaran malam dan
siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di
langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan
peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa.
[7]
Sesungguhnya orang-orang yang tidak
menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima
balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia
semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang
yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda
kekuasasaan) Kami, -
[8]
Mereka yang demikian keadaannya (di
dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan
keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan.
[9]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan
beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman
mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya
mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh
nikmat.
[10]
Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu
ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan
penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa
mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara
dan mentadbirkan sekalian alam!
[11]
Dan kalau Allah menyegerakan bagi
manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka
minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan
selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang
dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan
menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya.
[12]
Dan apabila seseorang manusia ditimpa
kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada
ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami
hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya
seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan
sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya
bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang
melampau apa yang mereka lakukan.
[13]
Dan sesungguhnya Kami telah
membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka
berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka
membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman.
Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.
[14]
Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat
Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah
dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan
yang kamu akan lakukan.
[15]
Dan apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak
menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): "Bawalah Quran
yang lain daripada ini atau tukarkanlah dia ". Katakanlah (wahai
Muhammad): "Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri,
aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja.
Sesungguhnya aku takut, - jika aku menderhaka kepada Tuhanku, - akan
azab hari yang besar (soal jawabnya)".
[16]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika
Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Quran ini kepada kamu),
tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Ia
tidak memberitahu kamu akan Al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana
sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang
lanjut (dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum
turunnya Al-Quran ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?"
[17]
Dengan yang demikian, tidaklah ada yang
lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah, atau yang
mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu
tidak akan berjaya.
[18]
Dan mereka menyembah yang lain dari
Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan
tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata:
"Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada
kami di sisi Allah". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu hendak
memberitahu kepada Allah akan apa yang Ia tidak mengetahui adanya di
langit dan di bumi (padahal Allah mengetahui segala-galanya)? Maha Suci
Allah dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan."
[19]
Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada
mulanya tidak memeluk melainkan ugama yang satu (ugama Allah), kemudian
(dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. Dan
kalau tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan dari Tuhanmu
(untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah
diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia)
mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.
[20]
Dan mereka yang ingkar itu berkata:
"Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari
Tuhannya? "Maka jawablah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara yang
ghaib itu tertentu bagi Allah; oleh itu tunggulah (hukuman Allah),
sesungguhnya aku juga di antara orang-orang yang menunggu.
[21]
Dan apabila Kami beri manusia merasai
sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan
serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat keterangan
Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya. Katakanlah (wahai
Muhammad): "Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!"
Sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan
rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.
[22]
Dia lah yang menjalankan kamu di darat
dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis
kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera
itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan
angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba
datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi
ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka
diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah
dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil
merayu dengan berkata): "Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah)
selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang
bersyukur".
[23]
Kemudian bila sahaja Allah selamatkan
mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi
dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia!
Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana
terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai)
kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada kamilah
tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah
lakukan.
[24]
Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia
hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu
(tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis
yang dimakan oleh manusia dan binatang - bercampur-aduk dan
berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga
apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias
(dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun
menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya
(mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan
bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia
hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami
menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu
berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).
[25]
(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia),
dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat
sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa
yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang
betul lurus (yang selamat itu).
[26]
Untuk orang-orang yang berusaha
menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan
yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh
sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka
kekal di dalamnya selama-lamanya.
[27]
Dan untuk orang-orang yang melakukan
kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka
ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan
kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka
mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian
(yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli
neraka, mereka kekal di dalamnya.
[28]
Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan
mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada
orang-orang musyrik: "Tunggulah di tempat kamu semua, kamu dan
makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu"; sesudah itu kami putuskan
perhubungan baik di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang
mereka sembah itu (sebagai berlepas diri): "Bukanlah kami - yang kamu
puja dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu
kamu sendiri)!
[29]
"(Allah mengetahui apa yang
sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan
kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan
kamu (kepada kami)".
[30]
Pada masa itu tiap-tiap diri dapatlah
mengetahui (dan merasai) akan apa yang telah dikerjakan dan mereka
dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka yang sebenar-benarnya (yang akan
membalas dengan adilnya); dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka
apa yang mereka ada-adakan.
[31]
Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik
itu): "Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?
Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah
yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan
mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula
yang mentadbirkan urusan sekalian alam? "(Dengan pertanyaan-pertanyaan
itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan
berkata: "Allah jualah yang menguasai segala-galanya! "Oleh itu,
katakanlah: "(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu
tidak mahu bertaqwa?
[32]
Maka yang demikian (sifatNya dan
kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah
nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada
itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan
dari kebenaran?
[33]
(Sebagaimana benarnya ketuhanan itu
bagi Allah sahaja) demikianlah benarnya kalimah ketetapan hukum
Tuhanmu, terhadap orang-orang yang fasik kerana bahawasanya mereka
tidak beriman.
[34]
Bertanyalah (kepada mereka wahai
Muhammad): "Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan
Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia
mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)? "Katakanlah: Allah
jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk kemudian Ia mengembalikan
adanya semula (untuk menerima balasan); oleh itu, mengapa kamu rela
dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?"
[35]
Bertanyalah (wahai Muhammad): "Adakah
di antara makhluk-makhluk: yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu,
sesiapa yang dengan memberi petunjuk kepada kebenaran? "Katakanlah:
"Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran; (kalau
sudah demikian) maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada
kebenaran itu, lebih berhak diturut, ataupun yang tidak dapat memberi
sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? Maka
apakah alasan sikap kamu itu ? Bagaimana kamu sanggup mengambil
keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh
akal)?"
[36]
Dan kebanyakan mereka, tidak menurut
melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu
tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran
(iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka
lakukan.
[37]
Dan bukanlah Al-Quran ini sesuatu yang
boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi Al-Quran itu
diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan
sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syarak yang
diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada
Al-Quran itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan
mentadbirkan sekalian alam.
[38]
(Orang-orang kafir tidak mengakui
hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: "Dia lah
(Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya". Katakanlah
(wahai Muhammad): "Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang
sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu
dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika
betul kamu orang-orang yang benar!".
[39]
Bahkan mereka pula terburu-buru
mendustakan Al-Quran yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala
isi pengetahuannya, dan belum datang kepada mereka kenyataan yang
menjelaskan kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka
mendustakan (Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada mereka). Maka
lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu (berakhir dengan
berbagai bencana yang membinasakan mereka).
[40]
Dan di antara mereka ada yang beriman
kepada Al-Quran, dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung
kepadanya; dan (ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang
yang melakukan kerosakan.
[41]
Dan jika mereka terus-menerus
mendustakanmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: "Bagiku amalku, dan
bagi kamu pula amal kamu. Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku
kerjakan, dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang kamu
kerjakan".
[42]
Dan di antara mereka (yang ingkar) itu,
ada yang datang mendengar ajaranmu (dengan tidak mendapat faedah
sedikitpun sebagai orang pekak); maka engkau (wahai Muhammad) tidak
berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar, juga kalau
mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu memahami perkara yang
didengarnya.
[43]
Dan di antara mereka pula ada yang
memandang kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka
tidak nampak kebenarannya sebagai orang buta); maka engkau (wahai
Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta,
juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara
yang engkau tunjukkan itu).
[44]
Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.
[45]
Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan
mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai
seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat
sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri.
Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui
Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke
jalan mencari untung semasa hidup di dunia).
[46]
Dan jika Kami perlihatkan kepadamu
(wahai Muhammad) akan sebahagian dari balasan azab yang Kami janjikan
kepada mereka, atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu, maka kepada
Kamilah tempat kembali mereka; kemudian Allah yang memberi keterangan
mengenai apa yang mereka lakukan.
[47]
Dan bagi tiap-tiap satu umat ada
seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul
masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun
dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak
dianiaya.
[48]
Dan mereka (yang kafir) bertanya: "Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?"
[49]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak
berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat
bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada
tempoh yang ditetapkan; maka apabila tempohnya, tidak dapat mereka
melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya".
[50]
Katakanlah: "Sudahkah kamu nampak jalan
keluar jika datang kepada kamu azab Tuhan itu, pada waktu malam atau
pada waktu siang? "Azab manakah yang orang-orang berdosa itu minta
disegerakan (sedang sebarang azab wajib ditakuti)?
[51]
Patutkah (kamu mengingkari azab itu),
kemudian apabila ia menimpa kamu, kamu mengakui benarnya? (Sedang
pengakuan pada masa itu tidak diterima bahkan dikatakan kepada kamu):
"Sekarangkah baharu kamu mengakui benarnya, padahal sebelum ini kamu
telah menunjukkan keingkaran dengan meminta disegerakan kedatangannya?"
[52]
Kemudian dikatakan lagi kepada
orang-orang yang berlaku zalim itu: "Rasakanlah azab yang kekal.
Tidaklah kamu dibalas melainkan dengan apa yang kamu usahakan (di
dunia)".
[53]
Dan mereka (yang meminta disegerakan
azab) itu akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Adakah kedatangan
azab yang dijanjikan itu benar? "Jawablah: "Ya, demi Tuhanku!
Sesungguhnya adalah ia benar! Dan kamu tidak sekali-kali berkuasa
menahan kedatangannya".
[54]
Dan pada masa itu sekiranya tiap-tiap
seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang
lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah ia rela menebus
dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya); dan
mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat
azab itu; dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta
mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu.
[55]
Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada
di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya
janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui.
[56]
Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.
[57]
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah
datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan
kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di
dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan,
serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
[58]
Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan
Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih
sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka
bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada
apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak
kekal)".
[59]
Katakanlah (kepada kaum yang
mengada-adakan sesuatu hukum): "Sudahkah kamu nampak baik-buruknya
sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat
kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?"
Katakanlah lagi (kepada mereka): "Adakah Allah izinkan bagi kamu
berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap
Allah?".
[60]
Dan apakah sangkaan orang-orang yang
mengada-adakan kata-kata dusta terhadap Allah, (tidakkah mereka akan
diazabkan) hari kiamat kelak? Sebenarnya Allah jualah yang melimpahkan
kurnia kepada manusia (meliputi rezeki pemberianNya dan hukum-hukum
Syarak yang diturunkanNya), tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.
[61]
Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad)
dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca
sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai
umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah
Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak
akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus
atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada
yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan
semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.
[62]
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali
Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap
mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[63]
(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
[64]
Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang
mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan
pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.
[65]
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad)
merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana
sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha
Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.
[66]
Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah
jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka
yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak
menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata,
dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.
[67]
Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu
supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang
(supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu
mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum
yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil
pelajaran daripadanya).
[68]
Mereka berkata: "Allah mempunyai anak"
Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu)! Dia lah Yang Maha
Kaya; segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah
kepunyaanNya; tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu yang
membuktikan apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu berani mengatakan
terhadap Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya?
[69]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta
terhadap Allah, tidak akan berjaya".
[70]
(Apa yang mereka beroleh hanya)
kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka.
Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan
kufur yang mereka lakukan.
[71]
Dan bacakanlah kepada mereka (wahai
Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada kaumnya: "Wahai
kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan
yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu,
menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat,
kerana) kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah
keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat
kamu terhadapku; kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu,
kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka); sesudah itu
bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.
[72]
"Oleh itu, jika kamu berpaling
membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana
aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran ugama
Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah
semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula
diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri
bulat-bulat kepada Allah)".
[73]
Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh,
lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman
di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang
memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah
semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang
mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.
[74]
Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh,
beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing; lalu Rasul-rasul itu
datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang
nyata; dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada
apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami
meteraikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.
[75]
Kemudian Kami utuskan sesudah
Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan kaumnya
dengan membawa ayat-ayat Kami; lalu mereka (Firaun dan kaumnya) berlaku
sombong takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum yang biasa
melakukan dosa.
[76]
Oleh sebab itu ketika datang kepada
mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka: "Sesungguhnya ini
ialah sihir yang nyata".
[77]
(Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa
bertanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran
ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang
ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya".
[78]
Mereka pula berkata: "Adakah engkau
datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala
yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan
kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? Dan (ketahuilah)
sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua".
[79]
Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): "Bawalah kamu kepadaku segala ahli sihir yang mahir".
[80]
Setelah datang ahli-ahli sihir itu,
Nabi Musa berkata kepada mereka:" Campakkanlah kamu dahulu apa yang
kamu hendak campakkan (diri benda-benda yang kamu jadikan sihir itu)!"
[81]
Setelah mereka campakkan (benda-benda
itu), Nabi Musa berkata:" Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir;
sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang
dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan
perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.
[82]
"Dan Allah juga sentiasa menetapkan
perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang
demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa".
[83]
Maka tidaklah ada yang beriman kepada
Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun
dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa
mereka; kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan
sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas.
[84]
Dan Nabi Musa pula berkata (kepada
kaumnya): "Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka
hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang
Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".
[85]
Lalu mereka berkata: "Kepada Allah
jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami
landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.
[86]
" Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir".
[87]
Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada
Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): "Hendaklah kamu berdua
mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan
jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah
sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada
orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari
kezaliman Firaun dan kaumnya)".
[88]
Dan Nabi Musa pula (merayu dengan)
berkata: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada
Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda
yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang
Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu
(dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta
benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras
membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga
mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.
[89]
Allah berfirman: "Sesungguhnya telah
dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan
perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang
yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)".
[90]
Dan Kami bawakan Bani Israil ke
seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan
tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun
hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku
percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil,
dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)".
[91]
(Allah berfirman): "Adakah sekarang
(baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah
kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang
melakukan kerosakan?.
[92]
"Maka pada hari ini, Kami biarkan
engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa,
daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di
belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah)
sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan
memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!".
[93]
Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan
Bani Israil di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan Firaun), dan
Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Maka mereka
tidak berselisihan (mengenai Nabi Muhammad melainkan) setelah datang
kepada mereka pengetahuan (dari bukti-bukti yang nyata). Sesungguhnya
Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa
yang mereka perselisihan itu.
[94]
Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai
Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turukan kepadamu, maka
bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan
dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya
telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali
engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu.
[95]
Dan jangan sekali-kali engkau menjadi
dari golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah, kerana dengan itu
engkau akan menjadi dari orang-orang yang rugi.
[96]
Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab), mereka tidak akan beriman:
[97]
Walaupun datang kepada mereka segala
jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan
kebenaran Rasul-rasulNya), sehingga mereka melihat azab yang tidak
terperi sakitnya.
[98]
(Dengan kisah Firaun itu) maka ada
baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka
ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat
menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat
demikian - ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang
membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami
berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami
tentukan).
[99]
Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai
Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu
menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi.
(Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang
ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula
hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?
[100]
Dan tiadalah sebarang kuasa bagi
seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah (melalui
undang-undang dan peraturanNya); dan Allah menimpakan azab atas
orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya).
[101]
Katakanlah (wahai Muhammad):
"Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari
segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan
kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan
kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah
Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang
yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.
[102]
Maka orang-orang yang tersebut tidak
menunggu melainkan (azab Allah) sebagaimana kejadian-kejadian yang
berlaku kepada orang-orang yang ingkar yang terdahulu daripada mereka.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tunggulah, sesungguhnya aku juga
bersama-sama kamu dari orang-orang yang menunggu".
[103]
Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami
dan orang-orang yang beriman. Demikianlah juga, sebagai kewajipan Kami,
Kami selamatkan orang-orang yang beriman yang menurutmu).
[104]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
sekalian manusia! Sekiranya kamu menaruh syak tentang kebenaran
ugamaku, maka (ketahuilah) aku tidak menyembah makhluk-makhluk yang
kamu menyembahnya yang lain dari Allah, tetapi aku hanya menyembah
Allah yang akan mematikan kamu (untuk menerima balasan); dan aku
diperintahkan supaya menjadi dari golongan yang beriman.
[105]
"Serta (diwajibkan kepadaku): '
Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan
perintah-perintah) ugama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau
menjadi dari orang-orang musyrik '."
[106]
Dan janganlah engkau (wahai Muhammad)
menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat
mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat
kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka
pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim
(terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).
[107]
Dan jika Allah mengenakan engkau
dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan
dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau
beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat
menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada
sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha
Pengampun lagi Maha Mengasihani.
[108]
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai
sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari
Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman
kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya
sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya
kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah
menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu".
[109]
Dan turutlah apa yang diwahyukan
kepadamu serta bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan Islam)
sehingga Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar, dan
memberi kepadamu kemenangan yang telah dijanjikan), kerana Dia lah
sebaik-baik Hakim.